‘Kurung rakyat’ kini sudah tak relevan dan bimbang kesihatan mental dan fizikal terjejas, kata TMJ

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Kerajaan negeri patut mempercepat pelaksanaan inisiatif-inisiatif melawan wabak Covid-19 yang kini dalam keadaan yang kritikal, kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, ini kerana sehingga kini, statistik Covid-19 masih menunjukkan jumlah kes harian yang tinggi.

“Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

“Rakyat kini sudah dikurung hampir dua bulan dan saya bimbang rakyat kini mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk.

“Di samping itu, masalah sosioekonomi juga tertimbul akibat situasi ini yang berpanjangan.”

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Johor Hasni Mohamad bersama Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani.

Tunku Ismail berkata, prosedur operasi standard (SOP) patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih.

“Penggunaan ‘rapid test kit’ dan test kit peribadi juga perlu diperkenalkan secepat mungkin untuk semua orang dan digunakan secara meluas, khususnya untuk sektor-sektor yang penting selain daripada para barisan hadapan, khususnya sektor kritikal yang melibatkan pemprosesan ubatan, bahan makanan dan barang keperluan asas,” katanya.

Beliau berkata selain itu, rakyat juga patut disaring secara meluas dan divaksinasi secepat mungkin.

Tunku Ismail berkata, beliau telah menitahkan supaya proses vaksinasi untuk rakyat Johor dipercepat melalui pelbagai inisiatif, termasuk perolehan vaksin oleh kerajaan negeri secara pembelian terus.

Sumber asal:  @freemalaysiatoday

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
Email NextStepMalaysia: [email protected]