Hari ini, Tabung Haji (TH) mengumumkan kos bagi menunaikan ibadah haji untuk tahun 2025, yang dibahagikan mengikut beberapa kategori.
Bagi bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah tersebut, kos ditetapkan pada RM15,000.
Bagi kumpulan M40, kosnya adalah RM23,500, manakala bagi kumpulan T20, bayaran penuh sebanyak RM33,300 diperlukan.
Kos bagi kumpulan B40 dan M40 meningkat sebanyak 20 peratus berikutan peningkatan beberapa kos di Tanah Suci, menurut laporan Berita Harian.
Pengumuman ini dibuat oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman.
Beliau turut menjelaskan bahawa kos haji untuk musim 1446H/2025M dikekalkan pada RM33,300 bagi setiap jemaah, sama seperti tahun lalu.
Syed Hamadah menambah bahawa TH telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kenaikan kos, antaranya dengan mendapatkan kontrak jangka panjang untuk penerbangan.
“TH telah berjaya mengekalkan kos haji pada RM33,300 bagi seorang jemaah Muassasah pada tahun ini, walaupun harga minyak meningkat.
Kami juga berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan bagi mengawal kos,” katanya.
Kos penginapan, penerbangan, dan caj perkhidmatan di Tanah Suci pula merangkumi 87 peratus daripada kos keseluruhan. Kos-kos tersebut adalah di luar kawalan TH.