Kesempitan hidup, ibu sanggup menjual anak

Oleh ADINDA

Satu kenyataan yang bertajuk ‘PDRM Berjaya Menyelamatkan Kanak-Kanak Dijual Ibu Sendiri, Bukti Kesengsaraan Rakyat Hari Ini’ mendakwa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Daerah Keningau berjaya menyelamatkan tiga beradik daripada dijual oleh ibu kandung mereka menggemparkan masyarakat.

Kenyataan yang dibuat oleh Raymond Ahuar, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pensiangan juga mendakwa tiga beradik itu menjadi mangsa pemerdagangan manusia kerana desakan hidup ibu kandung mereka sendiri sebelum dijual kerana tidak mempunyai wang setelah terputus pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Didakwa juga anak sulung yang sudah dijual itu berjaya diselamatkan berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia oleh PDRM dan Jabatan Kebajikan Keningau. Ibu mereka turut menerima deposit untuk anak kedua bagaimanapun pembeli masih belum menuntut kanak-kanak berkenaan, manakala anak ketiga masih menunggu pembeli.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali

Walau bagaimanapun Polis mengesahkan tiada sebarang kejadian penjualan anak atau pemerdagangan migran sepertimana dakwaan di dalam satu kenyataan yang dibuat di Keningau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata pihaknya meminta semua pihak agar memastikan sesuatu maklumat di saluran yang benar terlebih dahulu dan tidak menyebarkan berita palsu berikutan ianya akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata hasil siasatan mendapati kes ini adalah berkaitan dengan sepasang suami isteri yang ditahan berkenaan kesalahan penggunaan dadah.

“Suspek lelaki ditahan pada 22 Mei lalu dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(a)(1) akta sama.

“Wanita yang disebut dalam kenyataan itu yang juga ibu kepada tiga kanak-kanak itu pula kemudiannya ditahan selepas didapati positif dadah jenis Methapetamine 11 Jun lalu,” katanya.

Menurutnya semasa tangkapan dibuat dua anak suspek berumur lima tahun dan tujuh bulan yang berada bersama ibu mereka diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan dan kebajikan kanak-kanak terbabit.

Katanya seorang lagi anak yang berumur tujuh tahun turut diserahkan kepada pihak JKM pada keesokan harinya.

“Siasatan mendapati, sebelum ditahan wanita terbabit pernah memohon bantuan kewangan daripada orang awam bagi membayar wang jaminan mahkamah untuk suaminya.

“Tiada sebarang kesalahan berkaitan penjualan kanak-kanak oleh si ibu dan tiada sebarang isu pemerdagangan manusia kerana desakan hidup di daerah Keningau.

“Pihak polis memohon agar pihak-pihak terbabit supaya tidak mengeluarkan sebarang isu yang tidak benar tanpa merujuk kepada pihak polis,” katanya.