Kes rogol ‘suka sama suka’ remaja bawah 16 tahun meningkat sejak kebelakangan ini dan semakin membimbangkan terutamanya dalam kalangan keluarga B40.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, walaupun atas dasar persetujuan bersama, tetapi perbuatan yang dalam istilah undang-undang dirujuk sebagai ‘statutory rape’ itu, tetap diklasifikasikan sebagai kes rogol kerana melibatkan pelaku bawah umur.
Jelasnya, mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan 202 kes iaitu 11.8 peratus tahun lepas berbanding pada tahun 2022.
Beliau berkata paling menggusarkan ialah kebanyakan kes melibatkan golongan B40.
Menurutnya antara faktor jenayah ini berlaku adalah kurang penyeliaan ibu bapa, selain akses mudah kepada bahan lucah di internet.
Katanya dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan mengawasi anak-anak serta perlu celik teknologi maklumat bagi mengawal penggunaan internet untuk mengelak daripada anak-anak mereka melayari laman sesawang yang tidak sepatutnya.
Perubahan landskap komunikasi tanpa sempadan dan akses yang mudah memberi kesan ketara kepada golongan kanak-kanak sehinggakan boleh mengakses bahan-bahan terlarang tanpa kawalan dan akhirnya terjerumus dalam aktiviti yang tidak bermoral.
“Jika dahulu bahan lucah sukar didapati, namun kini semuanya di hujung jari sahaja, semua bahan ini mudah untuk akses di telefon pintar tanpa mengira usia,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Shuhaily berkata, kecetekan ilmu dan kawalan ibu bapa dalam memahami kod kandungan laman sesawang yang dilayari oleh anak-anak memberi kesan yang negatif.
Ia terutamanya apabila mereka membenarkan anak-anak pada usia seawal lima tahun untuk mengakses internet atas alasan untuk dijadikan bahan dalam pendidikan anak-anak.
Untuk mencegah masalah ini daripada menjadi barah dalam masyarakat, beliau berkata, polis tidak boleh bersendirian.
Sebaliknya, tegas beliau, ia memerlukan gandingan kerjasama semua pihak termasuk institusi keluarga, institusi pendidikan mahupun pembuat dasar untuk sama-sama menanganinya masalah ini.
“Dasar yang baik akan menzahirkan kelompok masyarakat yang baik,” katanya lagi.
Baca:
Memang ada permohonan tapi konsert kontroversi Choii tiada kelulusan negeri Kedah
Peningkatan insiden keganasan di Gaza punca PM Palestin letak jawatan, cadang langkah politik baharu
“Sejujurnya saya …” – Anna Jobling sifatkan Puteri Ameerah sangat tertib, sempat ‘girl talk’ 2 jam