Kes kematian tinggi, HTAR terpaksa dapatkan bantuan ATM urus mayat

Oleh ADINDA

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menghantar bantuan aset dan anggota bagi menguruskan mayat pesakit COVID-19 yang bertambah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, pasukan dan aset ATM akan membantu mempercepatkan urusan membawa mayat berkenaan bagi proses pengebumian mengikut agama masing-masing.

“Bantuan dan kerjasama ATM ini hasil perbincangan di antara Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dengan ATM.

“Bantuan ATM nanti dapat menampung kekurangan pegawai inspektor kanan (IK) di Pejabat Kesihatan Daerah Klang. Sebelum ini, IK menguruskan pengebumian jenazah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengenai rakaman video tular di media sosial yang memaparkan keadaan mayat pesakit COVID-19 yang terpaksa diletakkan di atas lantai secara berlapis di HTAR selepas bilik mayat berada pada tahap kapasiti penuh.

Dr Zulkarnain juga mengesahkan mayat berkenaan positif Covid-19, namun enggan menyatakan jumlah sebenar jenazah itu yang berada di HTAR ketika ini.

ATM akan bantu HTAR menguruskan mayat pesakit COVID-19

Katanya, prosedur menguruskan mayat terbabit dilaksanakan dengan cukup teliti terutama meletakkan ‘tanda’ pada si mati mengandungi maklumat nama dan butiran lain bagi memudahkan urusan pengebumian.

“Ketika ini, kesemua mayat berkenaan ditempatkan di dalam kontena sejuk beku. Secara keseluruhan setakat ini, kami di sini mempunyai tiga kontena dan jumlah itu mencukupi.

“Dua kontena itu adalah hasil pemberian kerajaan daripada lapan kontena diagihkan di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, kes kematian akibat jangkitan COVID-19 yang tinggi di HTAR disebabkan kebanyakan pesakit yang dirawat tergolong dalam kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

“Mungkin mereka datang lambat untuk rawatan yang menyebabkan kebarangkalian untuk sembuh agak tipis,” katanya.

ATM juga telah membina beberapa hopital medan termasuk dilengkapi ICU di beberapa lokasi