Seminggu selepas Paksu Jusoh meninggal dunia, kediamannya di sebuah jajahan di Kelantan mula sepi daripada kehadiran penghuni.
Setelah selesai kenduri tahlil pada hari ketujuh, semua anak cucunya mula pulang ke rumah masing-masing.
Hanya Mek Ani, anak sulung arwah Paksu Jusoh yang tinggal berdekatan dan kini bertanggungjawab menjaga rumah pusaka tersebut.
Rumah papan di pinggir desa itu memang sunyi kerana isteri arwah juga telah lama meninggal dunia.
Pada hujung minggu lalu, Mek Ani bersama anak lelakinya, Zamri, pergi ke kediaman itu untuk mengemas barang-barang milik arwah.
Ketika sedang mengemas di bilik tidur, Mek Ani terlihat bungkusan kain kuning yang diletakkan bersama lipatan kain pelikat.
Tanpa berfikir panjang, Mek Ani membuka lilitan tali putih di sekitar kain kuning itu dan mendapati sebilah keris yang berwarna kehitam-hitaman di dalamnya.
Dia meletakkan keris itu di atas lantai dan terus menyelongkar almari milik bapanya untuk mengemas pakaian yang ditinggalkan.
Ketika sedang membelek buku-buku lama bapanya, Mek Ani terdengar seperti ada seseorang berlari di atas bumbung rumah tersebut.
Tiba-tiba, keris yang dikeluarkannya tadi mula bergetar di atas lantai sebelum berdiri sendiri, seolah-olah terapung di udara.
Mek Ani yang terkejut menjerit kuat sehingga didengari oleh Zamri yang sedang membersihkan halaman rumah.
Mek Ani mula meracau seperti orang dirasuk, memaksa Zamri melaungkan azan untuk menenangkan keadaan.
Ketika itu, mata Mek Ani bertukar merah dan suaranya juga bertukar kasar.
Selepas hampir 15 minit melolong dan menggelupur, Mek Ani yang keletihan hanya mampu bersandar pada dinding sambil menangis.
“Ma tengok keris ni bangun sendiri, Ya Allah,” ujar Mek Ani kepada anaknya.
Zamri terus mengambil keris itu yang sudah berhenti bergerak dan membalutnya semula dalam kain kuning.
Selepas pulang ke rumah, Mek Ani bersama keluarganya pergi berjumpa dengan seorang ustaz untuk menceritakan kejadian tersebut.
Menurut ustaz, arwah bapa Mek Ani tidak sempat menurunkan keris berkenaan kepada pewarisnya, menyebabkan Mek Ani diganggu selepas membuka ikatannya.
Dengan bantuan ustaz, gangguan mistik berkaitan keris itu mula berhenti, dan ia telah disimpan di tempat selamat oleh suami Mek Ani.
BACA: Shah Alam digemparkan dengan penemuan longgokan Ular Sawa dalam longkang