Realtime website trackingweb stats

Kerap solat Subuh di masjid, hulur sumbangan buka puasa sunat, nazir cerita budi baik arwah YB Pelangai

Oleh ADINDA

Kerap solat Subuh di masjid, hulur sumbangan buka puasa sunat, nazir cerita budi baik arwah YB Pelangai.

“Seperti (jamuan) buka puasa sunat hari ini, Datuk Seri Johari Harun yang sumbangkan”.

Demikian pendedahan Nazir Masjid Al-Iman, Rafie Mohd. Ali mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Johari yang merupakan salah seorang daripada 10 individu yang maut dalam kejadian sebuah pesawat ringan terhempas, petang semalam.

Rafie berkata, Johari, 53, bukan sahaja sahabat yang baik, malah merupakan seorang insan yang sangat pemurah terutama dalam aktiviti kemasyarakatan masjid.

Menurutnya, meskipun Johari memiliki jadual yang padat sebagai ADUN, namun beliau masih boleh mencuri masa untuk menunaikan solat subuh di masjid ini hampir setiap hari.

“Program buka puasa sunat di Masjid Al-Iman ini dibuat pada hari Isnin dan Khamis setiap bulan yang mana ia ditanggung sepenuhnya oleh jemaah. Setiap bulan, Johari mesti ambil tiga hari untuk sumbang makanan dan hari ini, dia yang sumbangkan.

“Johari ini orangnya walaupun tidak cakap banyak, tetapi suka menyumbang ke masjid. Ini yang buat saya sedih, kerana saya hilang seorang jiran, sahabat dan jemaah tegar masjid ini,” katanya.

Seramai lapan individu termasuk seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang terbunuh selepas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang mereka naiki terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta yang kebetulan melalui lokasi kejadian berhampiran susur keluar Lebuh Raya Guthrie turut maut.

Dalam pada itu, Rafie berkata, Johari juga tidak suka menceritakan kebaikan yang dilakukan olehnya kepada orang lain, namun tidak pernah menolak sebarang permintaan daripada pihak masjid.

“Saya pernah tanya beliau, jemaah kita suka sangat kalau dapat dengar ceramah Datuk Badli Shah Alauddin (Timbalan Mufti Pahang) tapi kita ni orang Kuala Lumpur, jauh sikit dan sumbangan beliau juga agak tinggi untuk masjid seperti ini.

“Beliau kata, ‘tidak mengapa saya kenal dan biar saya uruskan. Jangan bimbang pasal duit saya uruskan semua’,” ujarnya.

Tambah Rafie, dia sempat menziarahi keluarga Allahyarham Johari sebelum mengadakan majlis tahlil ringkas untuk arwah selepas solat isyak di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, jenazah Johari yang kini berada di Hospital Tengku Ampuan Raimah (HTAR), Klang akan dikebumikan di Janda Baik, Pahang.

Baca:

Private Jet terhempas di Bandar Elmina, netizen rakam mayat terbakar

Korban kebakaran dahsyat di Hawaii terus melonjak, tapi ada juga pelancong selamba bersiar

Pengorbanan seorang bapa, sanggup berpakaian wanita nak gembirakan anak sempena hari ibu