Realtime website trackingweb stats

Kencang bisnes Mila Jirin sekarang, cawangan di seluruh negara, sasar zakat RM1 juta

Oleh SHAZLIN AZIZ

Artis dan usahawan, Mila Jirin, merasa bersyukur kerana kini dia telah menyumbang zakat perniagaan di Selangor melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Berbual dengan XTRA, Mila atau nama penuhnya, Nursyamila Jirin berkongsi bahawa beliau tidak hanya membayar zakat di Selangor tetapi juga di semua negeri tempat syarikatnya, Bizmilla Catering Sdn. Bhd., beroperasi.

“Alhamdulillah saya pembayar zakat di Selangor. Bukan sahaja di Selangor tetapi di semua cawangan-cawangan Bizmilla kami akan menzahirkan juga.

“Kalau di Pulau Pinang, kami akan bayar di sana dan juga cawangan-cawangan yang lain. Pada saya yang membantu kita untuk membayar zakat adalah para pelanggan.

“Mereka menyokong kami dan kami agihkan semula kepada komuniti setempat,” katanya kepada pemberita.

Mila telah ditemui semalam di majlis Santai Selebriti bersama Mufti Selangor di Shah Alam.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir, dan Ketua Divisyen Kutipan, Muhd Fikri Naim Harun.

Berkerjasama dengan penyanyi lagu Aku Lebih Tahu ini, beliau juga menerima bantuan LZS untuk pengiraan zakat.

“Di Selangor kami mempunyai 10 buah banquet hall dan seluruh Malaysia berjumlah 18 buah.

“Saya memang serahkan urusan zakat ini kepada bahagian kewangan di Bizmilla, Lembaga Zakat Selangor juga beri bantuan untuk memudahkan dengan membuat perkiraan yang betul.

“Pada saya, saya tak kisah pun kerana itu adalah amanah kita untuk membayar zakat,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Mila juga berhasrat untuk menyumbang zakat sebanyak RM1 juta dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.

“Di Johor Bahru kami juga baru bermula dengan RM30,000 lebih, begitu juga di Pulau Pinang.

“Setakat ini Alhamdulillah, bila campur adalah mencecah ratusan ribu setiap tahun tapi tidak mencecah jutaan, doakan ya.

“Sasaran saya 5 tahun ini adalah RM500,000 dan Insya-Allah dalam tempoh 10 tahun sasarkan RM1 juta untuk zakat,” tutupnya optimis.

Syarikat Bizmilla Catering Sdn. Bhd., yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Nursyamila Jirin atau lebih dikenali sebagai Mila Jirin, telah menyumbangkan zakat perniagaan sebanyak RM365,268.73.

Baca:

Kami tak ada benci atau suka satu sama lain”-Jovian bercerai dengan anak Ismail Sabri

Kerana seekor burung, jet pejuang Korea Selatan ditamatkan khidmat, kos baiki hampir RM500 juta

Sempat hantar video kepada keluarga, wajah pendaki wanita ini penuh debu dan sesak nafas sebelum rebah