Penyanyi Baby Shima mempertikaikan sikap pendakwah bebas yang terus memberikan sokongan kepada Da’i Syed,
seorang pendakwah selebriti yang baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun.
Dalam satu hantaran di Instagram, Baby Shima memuat naik tangkap layar artikel yang menunjukkan Da’i Fuad,
seorang pendakwah bebas, meminta orang ramai berhenti mengecam Da’i Syed.
Da’i Fuad menyatakan bahawa ujian ini bukan hanya untuk Da’i Syed tetapi juga untuk mereka semua,
sambil meminta agar orang ramai mengasihani isteri dan anak Da’i Syed yang turut terkena tempias ujian ini.
Susulan itu, Baby Shima mempersoalkan mengapa pendakwah bebas tersebut masih menyokong Da’i Syed walaupun dia sudah disabitkan dengan kesalahan. Menurut Baby Shima, pendakwah tersebut nampaknya tidak adil kerana hanya memberi teguran dan hukuman kepada selebriti lain.
“Kenapa tidak ada surat terbuka untuk mangsa rogol dan perogol? Bila saya terkena, ada sahaja konten. Bila melibatkan kelompok mereka, tiba-tiba suruh netizen diam. Bila kelompok mereka buat hal, semua senyap,” katanya.
Tambah penyanyi berusia 31 tahun itu, pendakwah bebas tersebut hanya memberi teguran untuk mendapatkan perhatian daripada warga maya.
“Bila melibatkan artis, mereka cepat-cepat buat konten untuk mendapatkan view. Barulah komen di Facebook dan Instagram meriah, kononnya menegur,” ujarnya.
Di ruangan komen, banyak pengguna media sosial memberikan sokongan terhadap kenyataan Baby Shima dan berkata bahawa sokongan pendakwah bebas seringkali memihak kepada individu yang mempunyai gelaran yang sama.
“Sekarang ini zaman syaitan bertopengkan agama ke? Kita hanya boleh memberi nasihat kepada keturunan Syed dan Sharifah,” kata mereka.
Untuk makluman, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Mohd Syaiful telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium lima tahun lalu. Da’i Syed berkahwin dengan Hana pada 3 Disember 2022 dan pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Sharifah Fatma Nour Jamalullail, pada 14 Ogos lalu.