Atas nama perdamaian dan keharmonian tercetusnya satu fahaman agama baru yang menyama ratakan Islam, Yahudi dan Kristian dengan nama Abrahamik atau Ibrahimiah atau bahasa Inggerisnya Abrahamic Faith.
Agama Yahudi, Kristian dan Islam telah diiktiraf sebagai Abrahamic Faiths iaitu agama nabi Ibrahim oleh kebanyakan tokoh sarjana Perbandingan Agama. Pengiktirafan ini berasaskan bahawa ketiga-tiga agama ini mempunyai persamaan walaupun diakui mempunyai perbezaan dari segi pegangan dan doktrin masing-masing.
Namun ciri dan persamaan yang diberikan dalam pengiktirafan ini tidak begitu jelas untuk membuktikan ketiga-tiga agama ini diiktiraf sebagai Abrahamic Faiths.
Ciri yang pertama memperlihatkan bahawa dikatakan ketiga-tiga agama besar dunia ini berkongsi personaliti yang sama iaitu Nabi Ibrahim. Ketiga-tiganya juga mempercayai kewujudan dan pengiktirafan Nabi Ibrahim sebagai nabi dan rasul yang diutuskan kepada kaumnya dan persamaan ini dilihat dari sudut nabi Ibrahim sebagai bapa kepada keturunan Bani Israel dan Arab.
Dikatakan juga 3 agama ini berkongsi ciri monotisme yang dibawa dan diajar oleh Nabi Ibrahim. Monotisme bermaksud kepercayaan kepada tuhan yang satu yang mencipta dan mentadbir alam. Ketiga-tiga agama tersebut berkongsi konsep monotisme.
Cardinal Sergio Pignedoli dalam ucapannya menyatakan bahawa ketiga-tiga agama majoriti ini yang merujuk kepada Yahudi, Kristian dan Islam menyakini dan mempercayai kenabian Nabi Ibrahim yang menekankan agama monotisme telah meletakkan ketiga-tiga agama tersebut turut diiktiraf sebagai agama nabi Ibrahim dengan rujukan persamaan monotisme yang umumnya menegaskan kepercayaan tuhan yang satu, tuhan yang mencipta alam dan tuhan yang mengutuskan nabi kepada umat manusia.
Alasan lain yang menyamakan Islam, Kristian dan Yahudi adalah dikatakan juga berkongsi sifat sebagai agama semitik. Semitik merujuk kepada pecahan jenis kumpulan bahasa Afro-Asia Timur Tengah, iaitu bahasa Semitik Bahasa-bahasa Semitik paling meluas dituturkan kini ialah Arab, diikuti oleh Amhara, Tigrinya dan Ibrani. Bahasa Semitik merupakan yang terawal menerima bentuk bertulis, dengan penulisan Akkadia bermula pada pertengahan dari alaf ketiga sebelum masihi.
Keterkaitan Pluralisme Agama Bertemakan Abrahamic Faiths
Pluralisme agama secara langsung telah mengikat Abrahamic Faiths yang pada asalnya berada di luar lingkaran Pluralisme agama. Pembinaan asal perkataan Abrahamic Faiths bertujuan membina keharmonian yang dilihat dari sisi memahami dan pengaplikasian komunikasi antara satu sama lain atas hal-hal berkaitan keagamaan namun telah diambil kesempatan oleh tokoh-tokoh pluralisme agama sehingga meletakkan kesamaan kedudukan dan taraf agama Yahudi, Kristian dan Islam di atas dua ciri persamaan, iaitu Tuhan yang sama iaitu tuhan Abraham (Nabi Ibrahim a.s). dan Tuhan yang satu iaitu konsep monotisme.
Sebelum ini telah diumumkan perancangan penggabungan rumah ibadat antara tiga agama ini yang bakal dibangunkan di Dubai dengan nama Abrahamic Family House dan sebelum itu idea penggabungan rumah ibadat tersebut telah digerakkan di Berlin, German dengan nama House Of One juga atas alasan kedamaian dan kerukunan beragama.
Apa kata tokoh agama terhadap fahaman ini?
(bersambung)