Realtime website trackingweb stats

Kelas bermula sebelum Subuh, ada warga emas sanggup ‘dikuarantin’ 35 hari untuk pengakhiran yang baik

Oleh FATIN AQILAH

Demi menghafaz al-Quran, ada warga emas sanggup ‘dikuarantin’ 35 hari berturut-turut dengan perlu memutuskan hubungan komunikasi dengan dunia luar selain meninggalkan gajet seperti telefon pintar.

Bukan itu saja malah warga emas berkaitan turut kekal istiqamah untuk memberi tumpuan kepada hafazan al-Quran walaupun berdepan kekangan kesihatan selain mengasah minda untuk menajamkan prestasi memori yang semakin surut.

Ia antara cabaran penuntut warga emas yang gigih mahu menghafaz al-Quran pada usia lanjut.

Bahkan, mereka diterapkan rutin disiplin tinggi dengan perlu mengikuti kelas hafazan seawal jam 4.30 pagi sehingga jam 10 malam, setiap hari.

Para ‘penghafaz tua’ ini mengikuti kelas hafazan al-Quran menggunakan kaedah hafaz sebulan dan murajaah (amalkan) seumur hidup di Karantina Tahfiz Malaysia, di TH Hotel Kelana Jaya.

Antaranya, A Shukor M Tahir, 67, pesara ahli farmasi Hospital Kubang Kerian, Kelantan.

Ikuti perkongsian beliau:

“Menghafal al-Quran pada usia ini adalah jadual kehidupan kedua buat saya serta isteri selepas selesai melaksanakan kehidupan pertama iaitu membesarkan anak-anak.

“Saya menyertai kelas hafazan al-Quran ini bersama isteri, Fauziah Md Fadzil, berusia 66 tahun.

“Sebaik bersara, kami lebih aktif belajar al-Quran termasuk membetulkan tajwid dan pelbagai disiplin lain.

“Sebelum ini, dalam tempoh sebaik bersara, saya belajar menghafaz dengan cara biasa iaitu kaedah mengulang berulang-ulang kali.

“Ketika pandemik, kelas al-Quran yang saya sertai terhenti sebelum kami menyertai kelas di sini.

“Bagi saya, usia bukan halangan untuk menghafaz al-Quran kerana ia atas kemahuan diri sendiri.

“Saya tidak berdepan banyak masalah untuk menghafaz dengan belajar teknik baru, namun saya akui, saya berdepan cabaran lain iaitu mudah letih, mungkin kerana saya menghidap pelbagai penyakit.

“Saya berdepan masalah lutut, prostat dan beberapa lagi. Daya pendengaran juga semakin berkurangan.

“Namun, saya kekal fokus kepada hafazan kerana saya mahu berusaha membina pengakhiran yang baik.”

Baca:

Siapa kata boikot tak berkesan, data dedah Starbucks merosot 40 peratus

‘Pergi tandas, keluar makan pun ada yang rakam senyap-senyap’ – Nadin Amizah rimas diperhati gerak-geri

Memang leceh nak bersih kesan minyak pada bekas plastik, guna cara ni tak perlu sental pun