Kecoh bahasa diguna pada peta laluan LRT di Pulau Pinang, rupanya ada udang di sebalik batu

Oleh ADINDA

Kecoh bahasa diguna pada peta laluan LRT di Pulau Pinang, rupanya ada udang di sebalik batu.

Selepas pernah gagal memainkan isu azan di Pulau Pinang, penyokong Pas dilihat cuba menyerang Kerajaan Perpaduan menggunakan isu bahasa Mandarin pada peta laluan perkhidmatan tren.

“Terasa macam di Hong Kong pulak. Geng-geng PH (Pakatan Harapan) cakap bahasa Melayu tak tergugat.

“Ni bahasa Melayu pun tak dijaga. Lama-lama orang tak rasa Pulau Pinang ni Malaysia. Habis nama kiasu, baik letak nama Melayu atau bahasa Inggeris saja,” kata seorang pengguna Facebook.

Walau bagaimanapun, hantarannya itu dikecam kerana ketara peta laluan yang dikongsikan itu merupakan versi untuk penutur bahasa Cina.

Rata-rata menyelar sikapnya yang dilihat sengaja mengadu domba dengan membangkitkan sentimen perkauman memandangkan peta laluan perkhidmatan rel di Pulau Pinang itu jelas ada dalam versi bahasa Melayu.

“Dia triggered sungguh dengan bahasa Cina sampai tak tengok dah siapa yang post. Yang post tu bukan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang tapi page yang memang berbahasa Cina.

“Dia ambil yang versi bahasa Cina kemudian hasut orang Melayu. Itu saja modus operandi puak ni.

“LRT pula nak dijadikan bahan oleh walaun selepas gagal memainkan isu azan,” demikian antara komentar warganet.

Untuk rekod, pelaksanaan fasa pertama projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dijangka akan dimulakan penghujung tahun ini.

Pembinaan LRT bagi fasa pertama yang akan mengambil tempoh lima tahun untuk disiapkan itu merangkumi 27 stesen dengan jajaran laluan sepanjang 29 kilometer.

Pada 6 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan menambah dana kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan segera projek LRT.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang merancang untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melibatkan projek LRT, monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.

Bagi merealisasikan PTMP, kerajaan Pulau Pinang melaksanakan PSR yang kini dikenali sebagai Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Projek tersebut melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah yang merupakan sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion.

Baca:

Sanggup menahan sakit kulit ditusuk jarum, bapa cacah tatu nama anak 667 kali

Lelaki ‘saudara baharu’ kongsi petua nak pikat wanita Cina, cukup syarat ini ‘Ah Moi’ cair terus

Ini senarai soalan ‘wajib tanya’ sebelum beli kereta baharu, dah boleh panaskan group komuniti