Realtime website trackingweb stats

Kasih ibu tidak bertepi, 36 tahun setia menanti kepulangan anak sulung

Oleh SHAZLIN AZIZ

Jas Jabar, seorang ibu berusia 77 tahun, masih menaruh harapan untuk bertemu semula dengan anak sulungnya, Abdul Khalid Deman, yang telah hilang tanpa jejak sejak tahun 1988.

Menurut laporan NST, Abdul Khalid, yang kini berusia 57 tahun, kali terakhir dilihat oleh keluarganya setelah kembali dari pengajian di Amerika Syarikat pada tahun tersebut.

Kisah Abdul Khalid kembali menjadi perhatian netizen setelah dikongsi oleh anak saudaranya di laman sosial TikTok, dan membawa kepada perhubungan dengan beberapa rakan lamanya.

Namun, sehingga kini, tidak ada petunjuk yang jelas mengenai keberadaan anak sulung yang hilang itu.

“Abang Long, pulanglah, mak rindu. Kami tidak mempersoalkan apa yang telah terjadi dahulu.

Kasih ibu tidak bertepi, 36 tahun setia menanti kepulangan anak sulung

Kami tidak marah, bahkan ayahanda yang sudah tiada pun tidak marah. Sebelum mak meninggal dunia, mak berharap dapat bertemu denganmu,” ungkap Jas dengan penuh emosi.

Anak sulung Jas Jabar meninggalkan Malaysia pada tahun 1985 untuk mengejar pelajaran tinggi di University of Southwestern Louisiana.

Walaupun beliau pernah pulang dua kali, namun selepas kunjungan terakhir pada tahun 1988, beliau hilang tanpa berita.

Usaha untuk mencari Abdul Khalid tidak pernah berhenti. Keluarga telah menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan bahawa Abdul Khalid tidak pernah kembali ke Malaysia sejak itu.

Pihak Mara juga pernah menyiarkan maklumat tentang Abdul Khalid yang hilang di televisyen, namun usaha tersebut tidak berjaya.

Rohani, adik kepada Abdul Khalid yang berusia 57 tahun, menggambarkan abangnya sebagai seorang yang berhati lembut dan pendiam.

“Kami tidak dapat berhubung dengan Abang Long semasa beliau berada di luar negara kerana pada masa itu, komunikasi tidak sehebat sekarang. Beliau pernah menghantar surat sekali semasa awal pengajiannya,” jelas Rohani.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menyelesaikan pinjaman pelajarannya tahun lepas, keluarga Abdul Khalid masih belum mendapat sebarang jawapan.

“Kami tidak tahu sebab mengapa Abang Long hilang, dan kami tidak mahu membuat spekulasi. Kami sangat berharap mendapat berita tentang Abang Long dan dapat bertemu semula jika beliau masih ada di dunia ini. Itu adalah doa harian kami,” kata Rohani.

Keluarga Abdul Khalid masih mengekalkan harapan bahawa seseorang di luar sana mungkin mempunyai maklumat mengenai keberadaannya. Mereka merayu sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Rohani di 019-6862407.

BACA: Punca calon tidak hadir SPM 2023 ini buat ramai terkejut