Karpet merah AJL 39, perlu kawalan lebih ketat – AMANAH. Anugerah Juara Lagu (‘AJL’) ke-39 telah melabuhkan tirainya semalam.
Saya mengikut perkembangan AJL khasnya acara Karpet Merah yang memperagakan pelbagai busana oleh para penonton dan peminat.
Gaya pemakaian ala busana wanita yang dipakai oleh penonton atau peminat lelaki amat membimbangkan.
Malaysia mempunyai adat dan norma budaya yang kuat
Malaysia mempunyai adat dan norma budaya yang kuat, di mana pemakaian lelaki dan wanita mempunyai perbezaan yang jelas.
Fesyen yang menampilkan lelaki berpakaian seperti wanita dilihat bertentangan dengan nilai yang dipegang oleh majoriti rakyat Malaysia, termasuk prinsip dalam Islam dan budaya Melayu.
Saya melihat mereka yang memilih berpakaian sedemikian mungkin bukan kerana gaya atau ekspresi seni, tetapi hanya untuk mencipta kontroversi dan menarik perhatian media serta netizen. Ini menjadikan AJL lebih kepada pentas “mencari publisiti” daripada acara penghargaan muzik yang sebenar.
AJL seharusnya raikan bakat artis, malangnya lebih tertumpu kepada pakaian “songsang”
Saya seterusnya menegaskan bahawa AJL seharusnya menjadi medan untuk meraikan muzik dan bakat artis, tetapi malangnya perhatian kini lebih tertumpu kepada pakaian aneh dan “songsang” yang digayakan.
Pemakaian seperti ini bukan sahaja menenggelamkan pencapaian artis dan lagu yang bertanding, malah menjadikan AJL sebagai acara fesyen yang penuh kontroversi.
Pemakaian lelaki dengan gaya feminin sering dikaitkan dengan budaya hiburan barat yang semakin normal dalam industri fesyen antarabangsa.
Jika dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh memberi kesan kepada generasi muda yang mudah terpengaruh dengan nilai yang tidak sejajar dengan budaya Malaysia.
Saya dengan ini mendesak agar AJL menetapkan kod pakaian yang lebih jelas pada masa akan datang agar tidak mencetuskan kontroversi yang boleh mencemarkan imej acara berprestij tersebut.
Penganjur hendaklah memastikan bahawa pakaian yang dipakai oleh selebriti mahupun peminat atau penonton tidak melampaui batas dan masih menghormati norma masyarakat tempatan.
Majlis Agama Islam juga boleh berperanan dalam menangani gejala tidak sihat ini melalui peruntukan enakmen atau akta syariah dan mekanisma fatwa yang sedia ada.
Sensitiviti masyarakat harus dihormati agar anugerah sebesar AJL ini tidak kehilangan identiti dan relevansi dalam industri hiburan tanah air.
-Wan Anwar Wan Ibrahim-
Pengerusi Biro Kesenian & Kebudayaan
Parti Amanah Negara
17 Februari 2025
BACA LAGI :
Selepas Good Vibes dibadai aksi LGBT, band dari Amerika ini pula dakwa bakal buat persembahan
APA! DAIM MEMBISU? Dikait siasatan SPRM, AMANAH bidas saguhati AKSB, PAS cadang LGBT pesakit mental?
HANGAT! Kerajaan tubuh JK Khas tangani LGBT, Tiada program tidak bermoral di Johor