Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya adalah bahagian undang-undang yang memberikan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan penggunaan dadah secara berulang.
Secara spesifik, jika seorang penagih dadah sebelum ini telah dituduh dan dihukum menggunakan dadah (urin) di bawah Seksyen 15(1)
Akta Dadah Berbahaya (ADB) dua kali sebelumnya, kesalahan yang ketiga kali akan dihukum di bawah Seksyen 39C ADB.
HUKUMAN
Individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 39C ADB boleh dijatuhi hukuman penjara minimum 5 tahun dan maksimum 7 tahun, serta sebatan tidak melebihi 3 kali.
JAMINAN
Individu yang dituduh di bawah Seksyen 39C juga TIDAK BOLEH DIBEBASKAN dengan jaminan.
MENGAKU SALAH ATAU MENUNJUKKAN PERTAHANAN
Apa pilihan yang ada untuk individu yang dituduh di bawah seksyen ini?
Jika memilih untuk mengaku salah, mereka boleh dihukum dengan penjara minimum 5 tahun dan satu sebatan, dan meminta hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap.
Bagaimana pula bagi mereka yang memilih untuk dibicarakan? Apa yang perlu dibuktikan di Mahkamah?
PEMBELAAN
Untuk melepaskan diri dari tuduhan di bawah seksyen ini, tertuduh perlu membuktikan sama ada mereka tidak menggunakan dadah atau tidak pernah mempunyai dua rekod lampau penggunaan dadah.
Bagaimana untuk membuktikannya?
Pertama, tertuduh perlu membuktikan bahawa air kencing yang diambil semasa ditahan bukan milik mereka. Ini boleh dibuktikan dengan membuktikan bahawa prosedur pengambilan air kencing tidak mengikut peraturan undang-undang.
Selain itu, untuk membuktikan bahawa air kencing bukan milik mereka, tertuduh juga boleh mencabar rantai bukti dari pengambilan air kencing di balai polis hingga ke makmal Kimia untuk analisis.
Jika tertuduh berjaya membuktikan bahawa air kencing tersebut bukan milik mereka, mereka boleh dibebaskan dari tuduhan. Namun, jika gagal, tertuduh masih boleh mencabar keaslian dan penerimaan dokumen yang menunjukkan rekod lampau mereka.
Semua ini harus berdasarkan undang-undang, di mana jika dokumen atau bukti tidak mematuhi undang-undang, tertuduh tidak boleh dihukum di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.
Namun demikian, keputusan akhir bergantung kepada fakta kes yang spesifik.
BACA: Ejen hartanah dedah rahsia beli rumah ‘second-hand’, kalau kena rezeki boleh dapat ‘fully furnish’!