Kad wajib bawa, tanpa kad ini, tak boleh masuk Masjidil Haram! Sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, Kad Nusuk telah menjadi ‘kunci utama’ untuk para jemaah haji memasuki kawasan suci seperti Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah, dan lokasi ibadah haji lain.
“Kalau nak masuk ke Masjid Al-Haram atau Al-Nabawi, wajib ada Kad Nusuk ini. Tanpa kad, jemaah tak dibenarkan masuk,” kata Mohd Na’im ketika ditemui di Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia yang akan berangkat ke Tanah Suci.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Jaga Kad Seperti Menjaga MyKad!
Mohd Na’im juga mengingatkan semua jemaah agar menjaga Kad Nusuk sebaik mungkin, kerana ia mengandungi data peribadi penting seperti nombor pasport, visa dan identiti rasmi jemaah.
“Anggaplah kad ini macam MyKad kita di Malaysia. Jangan hilang, jangan rosakkan. Kena jaga elok-elok sepanjang berada di Tanah Suci,” pesannya kepada 284 jemaah yang berlepas awal pagi ini.
100 Penerbangan Khas, 31,600 Jemaah Menuju Baitullah
Untuk musim ini, sebanyak 100 penerbangan khas telah dijadualkan, menggunakan khidmat AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines, yang akan membawa seramai 31,600 jemaah haji Malaysia secara berperingkat.
“Kumpulan pertama dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz di Madinah pada jam 7.50 pagi waktu Arab Saudi,” jelas beliau lagi.
Penerbangan terakhir dijadualkan pada 1 Jun 2025, menandakan penutupan gelombang ketibaan jemaah Malaysia ke Tanah Suci bagi musim ini.
Dengan pembaharuan Kad Nusuk dan sistem yang lebih tersusun, keselamatan serta kelancaran ibadah para jemaah Malaysia semakin terjamin. Yang penting, jaga kad sebaik-baiknya dan semoga perjalanan ibadah haji kali ini dipermudahkan serta mendapat haji yang mabrur. Amin!
BACA JUGA :
Hajar Aswad pernah hilang di Mekah selama 22 tahun! Ini pencurinya
Individu mastautin Mekah dedah kenapa jemaah Malaysia jadi sasaran ‘scammer’
Bakal beraya di Tanah suci, memang rezeki 3 mualaf ini ditaja tunai umrah, berada 20 hari di Mekah