Realtime website trackingweb stats

Jerebu kembali kualiti udara makin buruk, ketahui 10 langkah patut anda buat elak mudarat

Oleh SHAZLIN AZIZ

Sejak 29 September lalu, kualiti udara di beberapa kawasan di Malaysia mencecah status tidak sihat gara-gara kembalinya jerebu.

Puncanya daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Akibatnya, berlaku jerebu rentas sempadan yang menjejaskan pantai barat Semenanjung serta bahagian barat Sarawak.

Setakat pagi 30 September 2023, tiga kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan sekitar 101 hingga 200.

Paling teruk mengikut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) ialah Cheras, Kuala Lumpur dengan bacaan IPU sudah 151.

Seterusnya, adalah Shah Alam dengan bacaan semasa 103 manakala Nilai, Negeri Sembilan turut mengalami keadaan sama iaitu 110 bacaan setakat ini.

Berikut 10 langkah pencegahan kepada orang ramai bagi menghadapi kesan jerebu yang sedang melanda ketika ini:

1. Elak aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

2. Penganjuran aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihat supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

3. Banyakkan berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.

4. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

5. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

6. Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.

7. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga (sekurang-kurangnya lapan gelas sehari).

8. Jika mampu, pasang alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.

9. Sentiasa awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

10. Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.

Baca:

Dusun Musang King dikunjungi selebriti rupanya ceroboh hutan simpan, boleh pula bina rumah rehat

Pernah kira duit syiling nak beli susu anak dan menumpang di rumah mentua, kisah wanita ini menginspirasikan

Musim beras mahal, bilik simpan beras untuk makanan pelajar di sebuah sekolah kena pecah masuk, 50 tan lesap