Negara hari ini berkabung apabila jenazah bekas Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, dibawa ke Masjid Negara seawal jam 8.15 pagi untuk diberi penghormatan terakhir sebelum disemadikan dengan penuh adat Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan.
Van Jenazah Tiba Dari Bait Badawi
Van yang membawa jenazah Allahyarham berlepas dari kediamannya di Bait Badawi, Persiaran Tuanku Jaafar, menuju ke Masjid Negara, disambut dengan penuh rasa hiba dan hormat oleh ahli keluarga, kenalan rapat, serta rakyat yang hadir.
Rakyat Diberi Peluang Ucap Selamat Tinggal
Bagi rakyat Malaysia yang ingin memberikan penghormatan terakhir, Dewan Solat Utama Masjid Negara dibuka dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari ini. Orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama mengiringi pemergian seorang negarawan yang pernah menerajui negara dengan penuh kesantunan dan integriti.
Pengebumian Selepas Zuhur
Selepas solat jenazah dan penghormatan diberikan, jenazah akan dibawa ke Makam Pahlawan yang terletak bersebelahan Masjid Negara untuk dikebumikan selepas solat Zuhur. Pengebumian ini dilaksanakan mengikut protokol rasmi negara bagi mengenang jasa besar Allahyarham kepada Malaysia.
Pemergian Seorang Pemimpin Berjiwa Luhur
Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN) dalam usia 85 tahun. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat negara, lebih-lebih lagi sebagai seorang pemimpin yang dikenali dengan pendekatan lembut tetapi tegas, serta komitmennya terhadap kesederhanaan dan perpaduan.
Al-Fatihah buat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
BACA JUGA :
Dunia seni kehilangan bintang: Pelakon veteran Roslan Saleh meninggal dunia
Meninggal ketika imamkan solat subuh, Timbalan pengarah keselamatan UM meninggal dunia