‘Burger tepi jalan’ tidak perlu diperkenalkan lagi kerana ia adalah salah satu makanan segera yang paling popular dan digemari oleh rakyat Malaysia.
Jika ditanya tentang burger tepi jalan yang paling sedap, pasti ramai yang akan menyebut burger Ramly.
Ini kerana hampir semua gerai burger menggunakan daging dari jenama Ramly.
Aroma dagingnya ketika dipanggang di atas kuali memang menggoda selera sesiapa sahaja.
Dihidangkan dengan roti, sos cili, dan mayonis, burger Ramly menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia.
Namun, pernahkah anda terfikir siapa pemilik di sebalik burger ini? Walaupun sangat popular di dalam negara dan di peringkat global, ramai yang tidak tahu siapa pengasasnya.
Untuk makluman, Dato’ Ramly Mokni adalah individu di sebalik jenama burger Ramly. Sikap merendah diri usahawan terkenal ini antara sebab mengapa ramai yang tidak mengenalinya.
Pada mulanya, Ramly bercita-cita menjadi doktor semasa kecil, tetapi impiannya terpaksa ditangguhkan kerana ibu bapanya tidak mampu menanggung pengajiannya.
Lahir di Tanjung Piandang, Perak dan membesar di Sekinchan, Selangor, beliau kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.
Kelahiran burger Ramly bermula pada tahun 1978 apabila Dato’ Ramly Mokni dan isterinya, Datin Shala Siah Abdul Manap, mula menjual burger sebagai alternatif kepada produk daging halal ketika isu status halal daging burger sedang hangat di negara ini.
Dengan modal sebanyak RM2,000 dan hanya menggunakan pisau, mereka mula menghasilkan daging burger. Flat di Jalan Haji Hussein, Kampung Baru, menjadi tempat permulaan perjalanan burger Ramly yang kini menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Pada awalnya, burger yang dijual pasangan suami isteri ini kurang mendapat sambutan. Namun, semangat mereka tidak pudar dan mereka membuka gerai burger berhampiran Chow Kit.
Dengan kesabaran dan usaha keras, permintaan daging burger Ramly meningkat dari 200 keping sehari kepada 3,000 keping sehari.
Selepas lebih kurang dua tahun, mereka memutuskan untuk membuka syarikat pada tahun 1980, dan kilang baru dibuka di Bandar Tun Razak selepas empat tahun untuk menampung pengeluaran sebanyak 10,000 keping daging sehari.
Kejayaan ini tidak datang dengan mudah. Mereka menghadapi pelbagai cabaran termasuk permohonan pinjaman yang ditolak oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), walaupun permohonan di Bank Pembangunan diluluskan.
Kini, burger Ramly telah berjaya memberi impak besar dalam komuniti, dengan hampir 1.5 tan daging digunakan pada tahun 2019 untuk menghasilkan pelbagai produk jenama Ramly.
Syarikat ini juga telah memperluaskan perniagaan dengan memperkenalkan pelbagai produk seperti sosej, nuget, bebola daging, daging kisar, sos cili, dan banyak lagi.
BACA: Ini cara lajukan balik kipas di kampung yang slow tak boleh bawak bincang