Realtime website trackingweb stats

Jemaah haji merungut depan Kaabah, sekelip mata Allah ‘tarik’ suami hilang ketika tawaf

Oleh FATIN AQILAH

Setiap kali musim haji, pasti banyak kisah suka duka yang disimpan dikalangan jemaah-jemaah yang membanjiri mekah untuk menunaikan rukun islam yang ke-5.

Namun, kisah wanita ini yang tular di laman sosial Tiktok ini menjentik hati para isteri yang kerap memarahi mahupun meremehkan para suami.

Dikenali sebagai Dr Linda Raharjo, dia berkongsi kisah dirinya ditegur di hadapan kaabah ketika melakukan ibadah tawaf.

“Waktu itu saya sedang tawaf mengelilingi Kaabah. Ketika tawaf, entah kenapa berlaku salah faham antara saya dan suami gara-gara masalah remeh.

“Saya kesal dengan suami dan merungut dalam hati. Saya kata, saya boleh tawaf sendiri tanpa suami. Entah kenapa, genggaman tangan saya dan suami terlepas.

Jemaah haji merungut depan Kaabah, sekelip mata Allah ‘tarik’ suami hilang ketika tawaf

“Suami saya entah ke mana, seperti dibawa arus jemaah yang sedang mengelilingi Kaabah. Saya cuba tenangkan diri untuk teruskan tawaf walau hati cemas,” ujarnya memulakan cerita.

Dia turut diserang sakit perut yang seakan-akan ingin bersalin namun masih melakukan tawafnya walaupun dalam kesakitan.

“Entah kenapa perut saya sakit sangat. Macam perempuan mahu bersalin. Peluh membasahi tubuh saya sebab menahan sakit. Tapi saya terus kelilingi Kaabah walaupun bertatih.

“Saya juga berkata pada diri sendiri. Ya Allah, apa yang saya buat? Mungkin tadi saya buat silap dengan suami dan bersikap sombong kononnya boleh sendirian tanpa dia. Bukankah isteri perlu taat pada suami?

“Sambil menangis saya merintih kepada Allah dan memohon ampun atas kekhilafan semasa tawaf tersebut,” cerita wanita itu lagi mengimbas pengalamannya ketika mengerjakan haji pada tahun tahun 2015.

Selepas berdoa meminta keampunan dari Allah, dia turut merasakan sakit perutnya itu berkurangan lalu sempat menunaikan solat sunat sebelum disapa oleh suami dari arah belakang

“Beberapa minit selepas meminta ampun kepada Allah, perut yang sakit beransur hilang. Lama-lama ia hilang. Setelah tujuh kali putaran Kaabah, saya solat dua rakaat di Makam Ibrahim.

“Selesai ucap salam, suami saya menepuk bahu daripada belakang. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan suami. Saya terus memeluknya di hadapan Kaabah dan meminta maaf,” ujarnya.

Diakhir perkongsiannya, wanita ini turut menitipkan pesanan buat para isteri agar berbuat baik dengan suami dan taat.

“Kadang-kadang kerana ego isteri, apa yang dilakukan pasangan nampak salah pada mata kita. Padahal di hadapan Allah, kita sebagai isteri harus mentaati suami selagi suami tidak melakukan perkara yang salah di sisi agama.

“Jangan sombong sebagai wanita hanya kerana kita mampu. Suami adalah imam kita, imam keluarga. Yang mana kedudukannya mulia pada pandangan Allah,” ujarnya.

Baca juga: Tutup kilang 5 hari, Khairul Aming usung 100 orang bercuti di Hotel 5 bintang