Jangkitan Rabies ‘anjing gila’ dikesan di Selangor

Oleh ADINDA

Satu lagi kes jangkitan Rabies dikesan di Selangor membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun di daerah Kuala Langat.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata kes itu disahkan pada 22 April lalu, menjadikan dua jangkitan Rabies dicatat negeri ini, setakat ini.

Katanya, terdahulu warga emas itu dirujuk ke Klinik Kesihatan Telok Panglima kerana masalah anemia, sebelum dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada 20 April lalu.

Beliau berkata, ahli keluarga mangsa mendapati tingkah laku warga emas itu berubah daripada seorang yang aktif dan mampu menguruskan diri sendiri sebelum ini.

“Pemeriksaan mendapati beliau mempunyai luka di kaki kanannya yang tidak sembuh sejak dua bulan lalu. Sejak dua minggu lalu juga, beliau turut mengadu sakit kepala dan hilang selera makan.

“Beliau turut mempunyai sejarah digigit anjing liar di kawasan kediamannya di Pulau Carey, dua bulan lalu,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook rasmi JKNS.

Jangkitan Rabies 'anjing gila' dikesan di Selangor

Dr Sha’ari berkata, sampel cecair tulang belakang (CSF) dan biopsi nuchal mangsa telah dilakukan pada 22 April lalu, sebelum disahkan positif Rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Beliau berkata, warga emas itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di wad isolasi HTAR.

Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) pada 10 April lalu memaklumkan, terdapat satu kes kematian membabitkan seorang lelaki warga tempatan yang disahkan Rabies pada 4 April.

Baca:

Kedai Nasi Arab Chef Ammar mula tak ramai orang, ini puncanya..

Menghidapi masalah kesihatan, ramai sayu tengok perubahan fizikal Zamani

Tular video bakal suami kantoi keluar dengan ‘kekasih gelap’

Tonton: