PETALING JAYA – Benar atau tidak perlu menjadi “bodoh” untuk memikat hati seseorang?
Orang ramai pertahankan kenyataan pakar motivasi, Prof. Datuk Dr. Muhaya Mohamad yang dikecam netizen selepas memuat naik sebuah video berkaitan jodoh di laman media sosialnya hari ini.
Video yang memaparkan Muhaya menyatakan seorang wanita “biarlah macam bodoh-bodoh sikit” jika mahu cepat mendapat jodoh turut dibidas pelatih pakar bedah, Dr. Nur Amalina Che Bakri di laman Twitter.
Sebalik kecaman yang diterima susulan perkongsian video itu, ramai netizen mempertahankan kenyataan Muhaya apabila rata-ratanya menganggap mesej daripada video itu telah disalah tafsir.
“Kalau baca yang tersirat, Prof. Muhaya sebenarnya tekankan pasal perlunya bertolak ansur, toleransi dalam hubungan suami isteri,” kata seorang netizen Alexis King.
Seorang lagi netizen, Din Don berkata, rata-rata netizen dalam kalangan orang muda kini tidak begitu faham bahasa kiasan.
“Orang lama-lama sahaja yang faham apa maksud Prof. Muhaya,” kata seorang lagi netizen, Norarlena.
Terdahulu, Muhaya menyatakan kedudukan lelaki masih sebagai ketua dan imam bagi seorang wanita walau jawatan seseorang wanita itu lebih tinggi.
Katanya, wanita perlu meraikan kepimpinan lelaki dan tidak terlalu sibuk mahu berdiri sama tinggi dengan lelaki dan terlalu mahu berdikari kerana boleh mengakibatkan lambat dapat jodoh.
“Orang lelaki suka wanita lemah lembut, yang mengharapkan, suka ditolong. Biarlah macam bodoh-bodoh sikit,” katanya.
Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
[email protected]