Realtime website trackingweb stats

Ismail Sabri legasi kerajaan gagal

Oleh ADINDA

Faiz Fadzil

Perlantikan Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan dibuat berdasarkan peruntukan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan di mana beliau mendapat keyakinan 114 orang Ahli Dewan Rakyat. Perlantikan PM9 juga dibuat setelah pertemuan khas Raja-raja Melayu menunjukkan krisis politik yang berlaku di dalam negara bukan suatu perkara kecil.

Perlantikan Ismail Sabri dibuat berdasarkan sokongan Ahli Parlimen yang sama menjatuhkan kerajaan PH iaitu gabungan BN, PPBM, PAS, PBS dan GPS. Ismail Sabri hanya meneruskan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal, berpaksikan kepada ‘scheme of things’ dan disokong golongan kleptokrat. Tiada nadi dan jiwa baharu dalam kerajaan ini kecuali bertukar baju yang sudah lusuh. Kerajaan Ismail Sabri ini bukanlah kerajaan yang dibina atas mandat rakyat.

Sokongan sama yang diperolehi Ismail Sabri juga suatu gambaran bahawa PH sebenarnya sudah hilang majoriti untuk mentadbir negara sejak ‘langkah sheraton’ lagi. Namun, sokongan 105 Ahli Parlimen pembangkang adalah satu langkah positif untuk membina semula keyakinan rakyat menuju PRU ke-15.

Keretakan PN tidak akan terubat, PH harus bijak mengambil peluang. Khemah besar ini harus distruktur secara tersusun dengan strategi baharu yang lebih tuntas bagi mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap PH.

Tumpuan utama adalah bagaimana melebarkan pengaruh PH kepada pengundi-pengundi di kawasan luar bandar yang majoritinya orang Melayu. Agenda membela Melayu dan mengangkat kehidupan kaum Bumiputera perlu diberikan keutamaan.

Rakyat pasti bijak menilai. Namun, kesepakatan pembangkang adalah kekuatan sebenar sokongan rakyat.

 

Faiz Fadzil, Adun Permatang Pasir merangkap Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional