PAS BERBOHONG DALAM TERAS PERJUANGAN DAN HALATUJU GAGASAN SEJAHTERA
Membaca TERAS PERJUANGAN GAGASAN SEJAHTERA :
Teras Perjuangan:
1. Mempertahankan Perlembagaan Negara dan prinsip-prinsipnya;
2. Mempertahankan Islam sebagai Agama Rasmi Negara dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi, Bahasa Ilmu dan Bahasa Perpaduan Negara
3. Mempertahankan Prinsip Raja Berperlembagaan
4. Mempertahankan dan meningkatkan kedaulatan serta keselamatan negara dan rakyat
5. Memperkasakan keberkesanan Sistem Pendidikan Negara yang menekankan pembangunan nilai bagi melahirkan insan yang bermotivasi, kompetitif, berilmu dan berkemahiran tinggi
6. Mempertahan dan memperkasakan prinsip Federalisma yang adil dalam kesemua aspeknya
7. Meningkatkan toleransi dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama sambil memperkasakan jati diri setiap kaum menjadikan kepelbagaian sebagai aset serta kekuatan rakyat
8. Mengangkat integriti, ketelusan, kecekapan dan mesra-rakyat dalam sistem pentadbiran negara, sekaligus menghapuskan unsur negatif seperti salahguna kuasa, kronisme, nepotisme dan rasuah
9. Memartabatkan negara sebagai sebuah kuasa ekonomi yang kompetitif dan disegani di peringkat tempatan dan dunia melalui prinsip keadilan sosial dan ekonomi berasaskan kepada pembangunan nilai insan, keupayaan sains, teknologi dan inovasi, serta pengupayaan sumber tempatan.
GAGASAN SEJAHTERA dikatakan mengambil sikap yang adil dalam berhadapan dengan permasalahan yang dihadapi oleh negara pada hari ini.
Antaranya ialah
a. Menghormati mandat rakyat yang memberi kemenangan kepada sesebuah parti politik memerintah, dan tidak menumbangkan kerajaan melalui ‘cara pintu belakang’.
b. Menyertai pilihanraya sebagai kaedah sebenar untuk menukar kerajaan yang lebih baik mengemukakan dasar dan amalan bernegara yang terbaik melalui manifesto dan tawaran pilihanraya.
c. Menjadi pembangkang yang matang dan sejahtera, di mana menegur kerajaan dalam perkara yang tidak dipersetujui dengan memberi cadangan alternatif. Pada masa yang sama boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan rakyat dan umat manusia.
d. Mengelakkan campur tangan asing dalam menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sosial negara, apatah lagi mengundang golongan yang mempunyai rekod jenayah antarabangsa, keras terhadap umat Islam, pencerobohan terhadap negara-negara lemah dan sebagainya.e. Menolak sekerasnya politik fitnah yang membinasakan keharmonian.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat dengan bangganya mengumumkan penubuhan GAGASAN SEJAHTERA yang digambarkan sebagai salah satu KUASA KE 3 dalam politik Malaysia.
Malah mereka digelar KING MAKER dalam menentukan majoriti mudah mana-mana gabungan politik dalam membentuk kerajaan selepas pilihanraya.
Maka 3 parti yang terdiri dari PAS, IKATAN dan BERJASA digabungkan dan kononnya disertai juga 200 pertubuhan bukan kerajaan dibawah KONGRES RAKYAT. Terdapat juga parti yang bekerjasama secara persefahaman seperti Parti Cina Malaysia (PCM) dan Parti
Generasi Baru (PGB).
23 April 2018, Pengerusi GAGASAN SEJAHTERA Abdul Hadi Awang melancarkan DOKUMEN MALAYSIA SEJAHTERA yang mengandungi dokumen Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2025) dan Dokumen Hijau.
Melalui pelancaran ini juga GAGASAN SEJAHTERA mengumumkan untuk bertanding 160 kerusi parlimen dan menyasarkan kemenangan 112 kerusi bagi menawan Putrajaya.
Maka berlangsunglah PRU-14 dengan menyaksikan GAGASAN SEJAHTERA bertanding 159 kerusi parlimen dan 393 kerusi DUN di seluruh Malaysia. Keputusan PRU-14 diumumkan GAGASAN SEJAHTERA hanya memenangi 18 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN dan gagal membentuk kerajaan malah bersama Barisan Nasional sebagai pembangkang di parlimen.
GAGASAN SEJAHTERA dilihat tidak lagi wujud apabila kalah pada PRU-14. PAS yang sebelum ini menafikan kerjasamanya Bersama UMNO/BN akhirnya menzahirkan kerjasama tersebut pada Pilihanraya Kecil Sungai Kandis dan Pilihanraya Balakong dan pilihanraya-pilihanraya kecil lain selepas PRU-14.
Sikap dan sifat PAS dilihat berubah 360 darjah setelah kalah pada PRU-14 dengan menghalalkan apa yang diharamkan sebelum ini dengan membenarkan ahlinya mengundi calon UMNO dan MCA.
PAS menjadi lebih agresif sebagai pembangkang dengan mempermainkan persepsi bahawa kaum Melayu serta agama Islam terancam dibawah pemerintahan PAKATAN HARAPAN.
Berita-berita palsu disebar dan melakukan perang saraf persepsi yang melampau. Setiap saat apa yang berlaku dalam hal ehwal semasa dimanipulasi dengan diputar belit kepada isu, agama dan sistem beraja.
Februari 2020 menjadi satu peristiwa besar dalam politik Malaysia apabila PAS bersama BN dan pecahan PAKATAN HARAPAN merampas kerajaan melalui jalan belakang, menubuhkan kerajaan baru tanpa pilihanraya. PAS menjadi sebahagian kerajaan walaupun dengan jelas PAS bersama GAGASAN SEJAHTERA telah ditolak oleh pengundi untuk menjadi parti pemerintah.
Kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan tanpa mandat rakyat melalui pilihanraya dan wakil rakyat PAS dilantik sebagai Menteri dalam kabinet. Tidak puas merampas kerajaan persekutuan melalui pintu belakang, PAS dilihat melangkah lebih agresif bersama parti-parti sekutunya merampas kerajaan negeri termasuk Kedah, Perak dan Johor. ADUN PAS menjadi Menteri Besar dan Exco sebagai imbuhan kepada gerakan kerajaan “pintu belakang” yang mereka usahakan.
Kerajaan persekutuan dan negeri yang dibentuk oleh PAS bersama rakan sekutu politiknya berjalan dengan pelbagai kontroversi termasuk mutu perkhidmatan kepada rakyat. Pemimpin PAS yang menjawat jawatan di persekutuan dan negeri terpalit dengan pelbagai masalah malah merendahkan pemikiran rakyat apabila ditegur dan kritik.
Hukum hakam PAS berubah dalam menentukan judi dan arak sebagai sumber ekonomi negara malah menambah cabutan istimewa dari 8 cabutan kepada 22 cabutan setahun. PAS mula berdolak-dalik persoalan arak sehingga mengatakan ia adalah anugerah tuhan” dan menolak sesiapa pun mempersoalkannya kerana ia telah lama wujud sebagai sumber ekonomi negara.
Isu perkauman yang sebelum ini sangat lantang dilaungkan oleh PAS, telah sepi, sebagaimana isu arwah Adib dan pemandu mabuk kemalangan di jalan raya dan meragut nyawa. Institusi Beraja di Perak disanggah dan ingkar apabila PAS melanggar titah Sultan Perak untuk berjumpa bagi membincangkan pembentukan kerajaan “pintu belakang” yang diusahakan kerana tidak berpuas hati dengan pengagihan jawatan exco dalam kerajaan negeri.
Banyak lagi contoh-contoh peristiwa yang tidak dapat ditulis kerana terlalu banyak keburukan yang telah dan sedang berlaku.
Peristiwa yang dicatat ini sangat berlawanan dengan isi TERAS PERJUANGAN dan HALATUJU GAGASAN SEJAHTERA yang dipersetujui dan dilancarkan oleh Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS merangkap Pengerusi.
PAS dilihat ingkar dengan apa yang dipersetujui malah berbohong atas perlakuan mereka samada ketika jadi pembangkang atau pun kerajaan. PAS dilihat mengkhianati pengisian GAGASAN SEJAHTERA dan mula menimbang kedudukannya dalam MUAFAKAT NASIONAL.
Siri pengkhianatan pada PAS akan dilihat berterusan dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan mereka.
Rakyat pastinya menilai pembohongan, pengkhianatan dan ingkarnya PAS dalam janjinya sendiri.
Redhuan Esa, seorang anak peneroka dan generasi kedua Felda. Bekas penyokong Pas kelahiran Johor dan kini menetap di Terengganu.