Premis-premis perniagaan sekitar kawasan Arena Kepayang Putra, Fair Park, dipercayai menjadi punca sisa
seperti minyak memenuhi sekurang-kurangnya dua lorong di kawasan perumahan yang dilanda banjir semalam.
Muhammad Hamzah Md. Hamdan, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), berkata premis-premis
seperti restoran dan bengkel kenderaan berkemungkinan telah membuang sisa-sisa tersebut ke dalam
Sistem saliran berdekatan, yang kemudiannya dibawa arus banjir ke kawasan Arena Kepayang Putra.
“Selain itu, kita juga mendapati sampah-sarap di kawasan ini yang sepatutnya dikutip oleh pihak konsesi tidak dikutip disebabkan hujan lebat yang melanda Ipoh. Keadaan ini menghalang petugas konsesi daripada melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa sampah-sarap yang tidak dikutip ini akhirnya dibawa oleh arus banjir ke kawasan perumahan, memenuhi halaman rumah mangsa-mangsa yang terjejas.
Dalam pada itu, Muhammad Hamzah juga menyatakan bahawa banjir kotor yang melanda kawasan tersebut berkemungkinan menyebabkan gatal-gatal pada kulit mangsa banjir.
“Saya sendiri turun padang pada hari kejadian untuk membantu mangsa, dan saya terpaksa mencuci tubuh saya beberapa kali kerana kegatalan yang timbul akibat banjir tersebut,” jelasnya.
Muhammad Hamzah turut memaklumkan bahawa hasil pemantauan mendapati paras air Sungai Kinta yang berdekatan dengan Arena Kepayang Putra sudah mulai surut.
“Saya berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat meneliti isu ini dengan lebih mendalam agar kejadian banjir seperti ini dapat ditangani dengan lebih baik pada masa hadapan,” tambah beliau.
BACA; Ini 10 senarai orang terkaya di dunia, nombor 6 tu pernah buat ekonomi Malaysia gawat!