Jika anda menanam biji buah betik di halaman rumah, besar kemungkinan pokoknya akan tumbuh subur.
Namun, kebiasaannya pokok betik yang tumbuh adalah jenis berbunga jantan, yang tidak menghasilkan buah.
Keadaan ini mungkin mengecewakan bagi anda yang berharap untuk menikmati buah betik yang manis dan lazat.
Namun begitu, pokok betik jantan masih memiliki kegunaannya, terutamanya bagi mereka yang gemar menikmati ulam-ulaman atau menyediakan kerabu bunga betik.
Bagi anda yang ingin memastikan pokok betik menghasilkan buah yang besar dan manis,
Dusun Cikgu Mail telah berkongsi satu petua di laman TikTok untuk memilih biji betik terbaik sebagai benih. Berikut adalah langkah-langkahnya:
Sediakan Air
Masukkan semua biji betik ke dalam bekas berisi air.
Kenalpasti Kualiti Benih
Asingkan biji betik yang terapung dan tenggelam. Biasanya, biji yang terapung adalah jenis jantan yang kurang berkualiti kerana berongga.
Tambah Garam
Masukkan kira-kira satu sudu kecil garam ke dalam air tersebut dan kacau sehingga sebati.
Uji Isi Padu Benih
Biji betik yang kosong atau kurang berkualiti akan timbul di permukaan air.
Buang Benih Tidak Berkualiti
Singkirkan semua biji yang terapung kerana ia tidak sesuai untuk dijadikan benih.
Keringkan Benih Berkualiti
Tapis biji yang tenggelam dan jemur di bawah cahaya matahari sehingga kering sepenuhnya sebelum digunakan untuk penanaman.
Dengan langkah ini, anda berpeluang mendapatkan pokok betik yang menghasilkan buah yang lebih berkualiti. Selamat mencuba!