Walaupun belut kaya dengan pelbagai khasiat, ia bukanlah pilihan popular untuk dimasak di rumah.
Ramai lebih gemar menikmatinya di restoran kerana menganggap proses membersihkan belut sebagai sesuatu yang renyah.
Masalah lendir dan bau hanyir sering menjadi alasan, namun sebenarnya, cara menghilangkannya tidaklah sesukar yang disangka.
Jika tidak tahu cara menyediakannya, anda boleh meminta kedai membersihkannya selepas pembelian.
Belut, sejenis ikan berbadan panjang tanpa anggota tangan atau kaki, menawarkan manfaat kesihatan yang luar biasa.
Untuk yang berminat mencuba, ikuti perkongsian Kak Num melalui saluran YouTube Jom Masak-Masak, yang memberikan panduan mudah membersihkan belut.
Menurut Kak Num:
“Belut sifatnya berbau hanyir dan berlendir, sebab itu ramai rasa leceh nak uruskannya.
Tapi, jika tahu caranya, belut boleh menjadi hidangan yang enak, berkhasiat, dan digemari ramai. Jom ikut petua mudah ini untuk hilangkan bau hanyir dan lendir!”
Cara Mudah Hilangkan Bau Hanyir dan Lendir Belut
Bahan-bahan yang diperlukan:
Asam limau atau lemon
Asam jawa
Garam
Tepung gandum
Langkah-langkah:
Potong belut mengikut saiz yang diinginkan dan masukkan ke dalam bekas besar.
Gaulkan belut dengan asam jawa.
Perahkan asam limau atau lemon ke atas belut dan tambahkan ke dalam bekas tadi.
Masukkan satu sudu garam, kemudian gaul hingga garam larut.
Tambahkan satu sudu tepung gandum, dan gaul semua bahan dengan sudu.
Perap selama 5 hingga 10 minit, kemudian bilas sehingga bersih.
Siap! Kini belut anda bebas bau hanyir dan lendir, sedia untuk dimasak.
BACA: Bukan peguam tarik diri, hakim tarik diri dari dengar rayuan Najib Razak, dah kenapa?