Salah satu persediaan penting sebelum memohon kerja adalah semestinya perlu menyediakan resume sebagai rujukan bakal majikan.
Resume yang tersusun dan menampilkan maklumat berkaitan jawatan yang dipohon amat membantu pihak syarikat dalam proses penyaringan calon yang sesuai.
Namun, timbul kekeliruan apabila sebahagian syarikat meminta calon lampirkan resume, dan sebahagian lagi meminta vitae kurikulum (CV).
Malah anda bertambah pening apabila perlu mengepilkan portfolio apabila memohon kerja di syarikat bidang kreatif.
Ingin ketahui apa beza resume, CV, resume gabungan dan portfolio? Ikuti perkongsian berikut daripada seorang jurulatih kerjaya yang dikenali dengan nama Farid Affy di laman X.
Ciri resume
Menurut perkongsian Farid, resume mempunyai satu hingga dua halaman sahaja dengan maklumat yang lebih ringkas.
Calon hanya perlu meletakkan pengalaman dan kemahiran yang dirasakan sesuai dengan jawatan yang ingin dipohon dalam dokumen ini.
Baru nampak usaha calon membuat kajian tentang jawatan yang diiklankan itu terlebih dahulu.
“Pencapaian ditekankan, lebih terkenal (penggunaan) di Malaysia,” ujar Farid.
Ciri vitae kurikulum (CV)
CV pula merupakan dokumen yang tidak ada had halaman kerana mengandungi maklumat pendidikan, pengalaman kerja dan kemahiran yang lebih terperinci. Kebiasaannya CV hanya diberikan apabila diminta pihak syarikat kerana hanya segelintir bidang yang memerlukan maklumat terperinci sebegini contohnya bidang perubatan, penyelidikan dan teknikal.
BACA: Hairan Baju Berkedut Lepas Seterika? Ini Rupanya Cara Seterika Yang Betul
“Tulis semua pengalaman kerja mengikut susunan menurun (mulakan dengan terkini),” hurai beliau berkenaan CV.
Contoh resume dengan susunan menurun di bahagian pengalaman bekerja. Sumber: X Farid Affy
Ciri resume gabungan
Resume gabungan atau hybrid resume ini ialah dokumen yang menggabungkan kedua-dua ciri resume dan CV. Kebiasaannya, resume gabungan digunakan oleh pekerja yang telah lama berada dalam industri pekerjaan dengan pengalaman yang lebih.
Resume jenis ini digunakan untuk menonjolkan kemahiran dan pencapaian utama calon dengan lebih terperinci. Calon perlu menyusun pengalaman kerja mengikut susunan menurun, sama seperti CV.
Ciri portfolio
Sementara itu, bentuk portfolio sangat berbeza berbanding ketiga-tiga dokumen di atas. Farid menjelaskan bahawa portfolio merupakan kompilasi bukti pengalaman dan yang berkaitan contohnya hasil kerja berserta testimoni.
Sebagai contoh, portfolio bagi seorang pelukis mengandungi hasil lukisan yang menunjukkan pelbagai gaya lukisannya manakala portfolio seorang penulis pula mengandungi beberapa contoh hasil penulisan.
Memadai bagi calon meletakkan satu halaman atau satu hingga dua perenggan penulisan supaya pihak syarikat dapat mengenal pasti gaya penulisan calon.
Semoga perkongsian ini membantu para calon lebih yakin menghadiri temuduga pekerjaan yang diidamkan.
BACA: