Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dikenali sebagai seorang pemerintah yang mesra dan sangat dekat dengan rakyat. P
opulariti baginda di kalangan rakyat Malaysia juga tidak dapat disangkal, terbukti dengan jumlah pengikut di Facebook yang kini mencecah lebih sejuta.
Melalui media sosial, Sultan Ibrahim tidak kekok berkongsi pelbagai aktiviti harian baginda,
Bermula dari tugas pentadbiran yang serius hingga ke masa luang seperti bermain dengan cucu dan hobi unik yang digemari baginda. Berikut adalah lima fakta menarik mengenai Sultan Ibrahim:
Mempunyai Lesen Memandu Kereta Api
Pada tahun 2010, Sultan Ibrahim mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi Sultan pertama di Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi. Pada tahun yang sama, baginda turut berkenan memandu kereta api semasa program Kembara Mahkota Johor (KMJ2010).
Kejayaan ini tercatat selepas baginda menyempurnakan prosedur ‘turn table’ bagi memusingkan lokomotif seberat 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan.
Sultan Ibrahim juga pernah memandu kereta api pada 26 Mac 2017, dengan perjalanan sejauh 296 kilometer dari JB Sentral ke Kuala Lumpur, dan tiga hari kemudian berangkat pulang menggunakan kereta api yang sama.
Pernah Berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor
Sedar akan tanggungjawabnya sebagai raja pemerintah di Johor, Sultan Ibrahim pernah berkhidmat bersama kerajaan negeri bagi mempelajari pengurusan dan pentadbiran negeri. Baginda pernah ditempatkan di beberapa jabatan penting seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perhutanan, dan Jabatan Pertanian.
Mempunyai Latihan Ketenteraan Meluas
Selain terlibat dalam pentadbiran negeri, Sultan Ibrahim juga memiliki latar belakang ketenteraan yang luas. Baginda dilantik sebagai platun komander semasa menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat Kota Tinggi. Sultan Ibrahim turut menerima jemputan untuk menjalani latihan ketenteraan di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat, serta menyertai latihan ‘airborne’ dan ‘ranger’ untuk pegawai infantri. Baginda juga ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL dan ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Indonesia.
Hobi Unik Mengumpul Koleksi Tongkat Kayu
Sultan Ibrahim mempunyai hobi unik iaitu mengumpul lebih 200 tongkat kayu dengan pelbagai reka bentuk dan saiz. Semua tongkat tersebut dihasilkan secara tempatan dan mempunyai lambang khas ‘SI’.
Koleksi tongkat baginda termasuklah yang diperbuat daripada kayu cendana, giam, kayu lantai istana lama, dan kayu landasan kereta api. Sultan Ibrahim juga sering meluangkan masa untuk membersihkan dan menyusun tongkat-tongkat tersebut dengan kemas.
Suka Memasak dan Menu Kegemaran yang Sederhana
Sultan Ibrahim juga terkenal dengan kecintaannya terhadap memasak apabila mempunyai masa lapang. Baginda tidak lokek berkongsi hidangan istimewa di media sosial seperti kari kepala ikan kerapu, kari Jepun, Briyani Lobster, gulai nenas, dan nasi goreng istimewa.
Menu kegemaran baginda yang sering dipesan ketika bersantap pagi dengan orang ramai adalah roti canai kari kambing dan ayam, serta minuman halia ‘o’ ais.
Kehidupan Sultan Ibrahim yang mesra dan berjiwa rakyat ini pastinya menjadi inspirasi kepada ramai orang di luar sana.
BACA: Tun ini seperti ‘berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’ – Ustaz Idris Ahmad