Seorang wanita tidak menyangka bahawa tahi lalat kecil di pipinya boleh berubah menjadi kanser kulit yang serius.
Menurut laporan Metro.uk, Megin Davies, seorang wanita dari Brisbane, Australia, mula menyedari perubahan
pada tahi lalat di pipinya selepas melahirkan anak.
Dia menyangka perubahan itu disebabkan oleh hormon kehamilan.
Namun, segalanya berubah apabila seorang doktor gigi menasihatkannya untuk melakukan pemeriksaan terhadap tahi lalat tersebut.
Disahkan Menghidap Kanser Kulit
Hati Megin luluh apabila diagnosis pada Februari lalu mengesahkan dia menghidap melanoma tahap dua, setahun selepas kelahiran anak perempuannya, Bella-Reign.
“Hormon kehamilan mempercepatkan pertumbuhan sel kanser. Saya tidak pernah tahu ini boleh berlaku, jadi saya sangat terkejut.
“Saya tak sangka bahawa tahi lalat kecil di pipi saya boleh menjadi penyebab kepada kanser kulit sepanjang hidup saya,” kata wanita berusia 40 tahun itu.
Pembedahan Besar untuk Mengelakkan Penyebaran Kanser
Megin, yang juga ibu kepada tiga anak lain iaitu Tiana (18 tahun), Cooper (14 tahun), dan Chobi (7 tahun), menjalani pembedahan besar untuk membuang tahi lalat tersebut.
Doktor terpaksa membuang kulit berukuran tiga sentimeter dari hidung hingga ke dagunya bagi mengelakkan kanser daripada merebak. Akibatnya, Megin kini memiliki parut yang berukuran 3cm lebar dan 12cm panjang di wajahnya.
Kisah ini menjadi peringatan kepada semua agar tidak memandang ringan perubahan pada tahi lalat atau tanda di kulit, kerana ia mungkin tanda awal masalah kesihatan yang serius.
BACA: Ini cara betul pakai perfume bagi lelaki dan perempuan confirm seharian wangi!