Realtime website trackingweb stats

Ingatkan kedai nasi ayam tauge kedai makan cina, rupanya pemiliknya orang melayu!

Oleh ABDULLAH HAMID

Sekali pandang suasana restoran ini, pasti ramai yang menyangka ia adalah kedai makan Cina,

Terutama kerana hidangan yang disajikan merupakan menu kegemaran kaum Tionghua.

Namun, siapa sangka, Restoran Nasi Ayam Tauge yang terletak di Taman Ipoh Timur Baru ini sebenarnya dimiliki dan diusahakan oleh orang Melayu.

Restoran ini bukan sahaja memberikan alternatif kepada kaum Tionghua untuk menikmati hidangan kegemaran mereka

Tetapi juga membawa khabar gembira kepada masyarakat Melayu yang selama ini ingin merasai kelazatan makanan tersebut.

Ingatkan kedai nasi ayam tauge kedai makan cina, rupanya pemiliknya orang melayu!

Menurut pemilik restoran, Shahrizan Azmed, 37, sebelum ini hidangan seperti nasi ayam tauge hanya boleh didapati di kedai makan yang diusahakan oleh kaum Tionghua.

“Disebabkan itu, ramai orang Melayu, terutamanya yang beragama Islam, tidak dapat menikmati menu ini kerana meragui status halalnya.

“Tetapi kini, restoran nasi ayam tauge ini diusahakan sendiri oleh saya, seorang Melayu yang beragama Islam.

“Saya percaya usaha ini secara tidak langsung memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum, agama, atau latar belakang, untuk menikmati nasi ayam tauge ini,” katanya ketika ditemui oleh Sinar Harian.

Harga Berpatutan, Status Halal Dipastikan

Restoran ini sebelum ini pernah tular di media sosial kerana menawarkan harga yang berpatutan.

Namun, ia juga menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk keraguan netizen terhadap status halal restoran tersebut.

Ramai yang menyangka restoran itu milik bukan Islam, terutamanya kerana suasananya yang menyerupai kedai makan Cina.

Seorang pelanggan, Fauziah Ibrahim, 56, mengakui pada awalnya dia berasa ragu-ragu untuk mencuba hidangan di restoran itu.

“Saya tahu nasi ayam tauge biasanya hanya disediakan di restoran-restoran Cina. Disebabkan itu, saya berasa was-was dan hanya menyimpan hasrat untuk mencubanya suatu hari nanti,” katanya.

Namun, selepas mengetahui restoran tersebut dimiliki sepenuhnya oleh usahawan bumiputera Melayu beragama Islam, Fauziah akhirnya berpeluang menikmati hidangan yang diidamkannya.

Hidangan Disukai Semua Kaum

Selain pelanggan Melayu, hidangan nasi ayam tauge ini turut mendapat pujian daripada pelanggan kaum lain.

Seorang pelanggan, Tan Yiqi, 15, berkata, nasi ayam tauge di restoran ini memiliki cita rasa unik yang memikat selera.

“Nasi ayam di sini sangat sedap. Hari ini saya beli enam bungkus untuk dibawa pulang dan dinikmati bersama keluarga.

“Saya harap restoran ini terus maju dan berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Usaha Shahrizan dan isterinya dalam menyediakan hidangan yang berkualiti serta memastikan status halal restoran mereka membuktikan bahawa makanan tradisional pelbagai kaum boleh dinikmati oleh semua tanpa rasa ragu.

BACA: Roti canai viral laku keras, peniaga tak menang tangan ini puncanya