Ingatkan gula-gula, rupanya mercun! Seorang wanita di China mengalami kecederaan di bahagian mulut selepas tersilap menyangka sebutir mercun sebagai gula-gula susu dan memasukkannya ke dalam mulut.
Letupan Mengejutkan, Punca Kekeliruan Pembungkusan
Kejadian yang berlaku di Chengdu, wilayah Sichuan ini mengejutkan ramai pihak dan mencetuskan kebimbangan mengenai pembungkusan mercun yang mengelirukan.
Mangsa, dikenali sebagai Wu, berkongsi pengalaman ngerinya di media sosial. Menurutnya, mercun jenis shuang pao yang sering digunakan semasa perayaan di China, mempunyai pembungkusan yang sangat menyerupai gula-gula susu.
Akibat kekeliruan ini, Wu tanpa sengaja memasukkan mercun ke dalam mulut, menyebabkan letupan serta mencederakan dirinya.
Untuk makluman, mercun shuang pao atau dikenali sebagai “mercun pecah”, direka khas untuk meletup tanpa memerlukan api. Ia hanya perlu dijatuhkan atau dikenakan tekanan seperti dipijak bagi menghasilkan letupan yang kuat.
Ingatkan Snek, Rupanya Mercun!
Dalam temu bual bersama Elephant News, Wu menceritakan insiden itu berlaku secara tidak dijangka ketika dia bersantai di rumah.
“Saya sedang menonton televisyen dengan lampu tertutup ketika adik saya pulang membawa sebungkus snek.
“Saya fikir ia adalah gula-gula susu keladi kegemaran saya sejak kecil, jadi tanpa berfikir panjang, saya terus masukkan ke dalam mulut. Tiba-tiba, ia meletup!” katanya.
Tambahnya lagi, dia tidak mengalami kesakitan serta-merta, sebaliknya hanya dapat menghidu bau serbuk letupan yang memenuhi mulutnya.
“Jujurnya, saya terkejut lebih daripada rasa sakit. Walaupun selepas letupan, saya masih boleh makan dan memberus gigi tanpa rasa sebarang kesakitan,” katanya.
Pembungkusan Mengelirukan, Netizen Bersuara
Wu turut berkongsi gambar mercun tersebut yang dibalut dengan plastik lut sinar dan dilapisi kerajang aluminium, menyerupai kapsul atau pil ubat. Dalam gambar itu juga kelihatan kesan darah di dalam mulutnya akibat letupan tersebut.
Dia turut mempersoalkan rekaan pembungkusan mercun itu dengan bertanya, “Bukankah mercun sepatutnya dibungkus dalam kotak?”
Kejadian ini menarik perhatian ramai netizen di China, yang rata-ratanya bersetuju bahawa pembungkusan mercun ini boleh mengelirukan.
Malah, ada yang menggunakan enjin carian imej untuk mengenal pasti mercun berkenaan dan mendapati ia memang sering dikenali sebagai “gula-gula”.
“Tahun lalu, saya beli mercun ini dan rasa pembungkusannya bijak untuk mengelakkan ia daripada basah atau meletup sebelum sampai. Tapi saya tak sangka ia boleh disalah anggap sebagai makanan!” kata seorang pengguna.
Seorang lagi netizen meluahkan kebimbangan, “Rekaan ini sangat berbahaya. Pembungkusannya terlalu menyerupai makanan, membuatkan sesiapa sahaja boleh tersalah makan. Sepatutnya ada label amaran yang jelas untuk menunjukkan ia bahan berbahaya!”
Insiden ini menjadi peringatan penting agar produk seperti mercun dibungkus dengan lebih selamat dan tidak menyerupai makanan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
BACA LAGI :
Jubin rumah anda banyak yang meletup, tukang rumah kongsi punca dan cara cegah
Tukang masak kongsi 4 tip elak minyak meletup masa goreng ikan
Cara hilangkan hanyir ikan keli, confirm seminit settle, goreng pun tak meletup