Individu dedah kenapa harga makanan di bazar Johor Bahru cekik darah

Oleh ADINDA

Penjual di Bazar Ramadan Taman Suria di sini dituduh menjual makanan dengan harga yang sangat tinggi sehingga membebankan pembeli.

Dalam video yang dimuat naik ke TikTok, seorang pengguna yang dipanggil Pok Teh mengatakan bahawa makanan di bazar itu mahal kerana penjual mengambil kesempatan terhadap pelanggan dari Singapura.

Dia mengatakan harga makanan yang dijual oleh peniaga itu adalah yang paling mahal di bazar Ramadan negara ini.

Individu dedah kenapa harga makanan di bazar Johor Bahru cekik darah

“Contohnya harga burger sampai RM30 dan harga roti john sampai RM40. Bukan itu sahaja, mereka sanggup caj bagi beg plastik hingga 50 sen. Nak tak nak terpaksa beli, takkan nak bawa makanan macam tu tanpa beg plastik.

“Saya menasihati golongan B40 yang mengunjungi bazar berkenaan supaya lebih berhati-hati kerana makanan dijual mungkin di luar kemampuan. Lebih baik tanya harga dulu sebelum beli makanan. Mereka menyasarkan warga Singapura.

“Mereka tahu sebelum ini orang Singapura selalu datang ke Taman Suria apabila mahu makan makanan Malaysia,” katanya.

Perkongsian pengalaman daripada lelaki tersebut telah menerima pelbagai berbagai reaksi dari orang ramai yang pernah merasa tidak puas hati semasa membeli makanan di situ.

Seorang pengguna mengatakan dia membeli satu bungkus nasi kerabu dengan harga RM20 sementara ada pelanggan lain menyatakan membeli empat keping popiah dengan harga RM10.

Ada juga pelanggan yang mengaku membeli ikan pari bakar bersaiz kecil seperti tapak tangan dengan harga RM40 di bazar tersebut.

Pada masa yang sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo, menyatakan bahawa pihaknya belum menerima aduan rasmi tentang harga makanan di bazar tersebut.

“Bagaimanapun berdasarkan maklumat dalam media sosial, kami akan menjalankan pemantauan harga di bazar berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Baca:

Ini rupanya suasana berbuka puasa abang bomba, ramai tabik spring wira merah

Pengunjung ‘dera’ mental staff, sepahkan baju raya di butik

Serba salah nak ketawa, gelagat kembar ini gelakkan ‘member’ nak menangis menghiburkan