Selepas teruk dihentam netizen dan orang ramai di media-media sosial kerana responnya sebelum ini, Imam Masjid Putra, Ustaz Ikmal Zaidi Hashim memohon maaf kepada seluruh umat Islam berhubung video penjelasannya mengenai isu layanan dua darjat bagi solat Jumaat di Masjid Putra, baru-baru ini.
Ikmal berkongsi rakaman maaf secara terbuka itu menerusi laman Facebook Masjid Putra Putrajaya, kira-kira pukul 10.25 malam tadi.
Menurutnya, beliau memohon maaf berhubung penjelasannya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video tular itu.
“Dengan rendah hati, saya ingin memohon maaf atas segala keterlanjuran tersebut dan berazam serta berjanji akan membaiki keadaan terutama berkaitan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Putra.
“Saya juga mengajak semua khasnya jemaah Masjid Putra untuk teruskan aktiviti pengimarahan sama ada solat Jumaat atau solat fardu dan program yang akan dianjurkan kelak,” katanya.
Sebelum ini, Ikmal memuat naik video bagi memberi penjelasan sebenar berhubung isu tular itu malah, beliau tidak reda dengan penyebaran video berkenaan.
Menerusi rakaman video itu, Ikmal turut menjelaskan situasi sebenar yang berlaku pada hari berkenaan. Malah, beliau turut menggesa individu yang menularkan video itu tampil memohon maaf kepada pihak penguruasan masjid.
Sebelum itu, pihak pengurusan Masjid Putra menerusi kenyataan akhbar memohon maaf kepada semua pihak sekiranya wujud kekeliruan susulan penyebaran video tular itu.