Menikmati nasi lemak pasti lebih menyelerakan apabila ditemani ikan bilis goreng yang rangup.
Namun, ramai yang menghadapi masalah apabila ikan bilis yang digoreng menjadi liat dan tidak garing, walaupun baru diangkat dari kuali.
Masalah ini boleh membuatkan rasa kecewa, lebih-lebih lagi apabila dihidangkan kepada keluarga atau tetamu.
Jangan risau, ada cara untuk memastikan ikan bilis anda kekal rangup, berwarna keemasan, dan tahan lama.
Tukang masak terkenal, Rizal Kitchen, berkongsi petua mudah yang boleh anda cuba.
Langkah-langkah untuk Ikan Bilis Goreng Rangup:
1. Rebus terlebih dahulu
Rebus ikan bilis dalam air mendidih selama 2-3 minit untuk membersihkan habuk atau kotoran yang mungkin melekat.
2. Toskan ikan bilis
Setelah direbus, angkat dan toskan ikan bilis hingga kering.
3. Gaul dengan tepung jagung
Taburkan sedikit tepung jagung pada ikan bilis dan gaul rata. Tepung ini membantu menjadikan ikan bilis lebih rangup.
4. Panaskan minya
Pastikan minyak benar-benar panas sebelum menggoreng.
5. Goreng hingga sekata
Masukkan ikan bilis ke dalam kuali dan balik-balikkan menggunakan sudip supaya semua bahagian masak dengan sekata.
6. Angkat dan toskan
Goreng ikan bilis sehingga garing, kemudian angkat dan toskan minyak berlebihan.
7. Siap dihidang
Ikan bilis kini sedia untuk dinikmati.
Tip Penyimpanan
Jika disimpan dengan baik dalam bekas kedap udara, ikan bilis goreng ini boleh tahan sehingga empat bulan tanpa kehilangan kerangupannya.
Dengan petua ini, anda bukan sahaja dapat menikmati ikan bilis yang rangup, tetapi juga menjimatkan masa dan tenaga untuk penyediaan makanan di masa hadapan.