Realtime website trackingweb stats

Hari tu viral jubah konvo USM, yang ni versi Harry Porter pulak

Oleh NURAIMAN

Masa saat menyarung jubah di majlis konvokesyen pasti akan menjadi kenangan yang sukar dilupakan, melambangkan kejayaan pelajar menyelesaikan pengajian mereka di menara gading dalam bidang yang dipilih.

Pakaian akademik tersebut dianggap sangat istimewa dan menarik perhatian ramai orang, terutama dalam suasana meriah acara konvokesyen beberapa universiti tempatan dua minggu yang lalu.

Dalam konteks ini, jubah konvokesyen yang direka oleh Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi tumpuan utama di media sosial dan masih menjadi perbualan hangat sehingga sekarang, walaupun upacara bersejarah itu telah berlalu minggu lalu.

Sesetengah orang mengatakan bahawa pakaian akademik berwarna ungu tua itu seakan-akan potongan jubah yang dipakai oleh karakter dalam siri fantasi Harry Potter.

Seorang individu yang memiliki akaun Facebook yang dikenali sebagai Azrul Zabidi, berpendapat bahawa jubah dengan reka bentuk lama itu mempunyai lengan yang luas dan mengembang seperti jubah yang dipakai oleh hakim di mahkamah.

“Tiada sulaman, tetapi ada belahan di lengan jubah dan tengah jubah terbuka. Jubah tidak kelihatan ‘kembang’ dan terletak elok di atas bahu pemakai,” katanya.

Rekaan jubah sejak 1972

Wakil dari Pusat Media dan Komunikasi Awam Universiti Sains Malaysia (USM) mendedahkan bahawa jubah ini asalnya direka oleh seorang pereka jubah dari syarikat di United Kingdom dan telah digunakan secara tradisional sejak tahun 1972.

Dia menyatakan bahawa walaupun jubah tersebut telah digunakan sejak lama, baru-baru ini ia menjadi popular di media sosial. Katanya, beberapa jubah mempunyai reka bentuk yang minimalis, praktikal, dan menarik.

“Secara umum, set jubah diperbuat daripada bahan sutera dan baldu terdiri dari ‘robe’ iaitu jubah labuh sehingga pangkal betis, ‘hood’ iaitu selendang satin mengikut warna pusat pengajian dan topi berpetak dengan juraian di bahagian tepi.

“Butiran daripada sumber Arkib USM mendapati konvokesyen pertama diadakan pada 10 Jun 1972, di Dewan Sri Pinang menyaksikan 39 orang menerima ijazah dengan kesemua mereka dilihat sudah mengenakan jubah konvokesyen sedemikian pada majlis tersebut.

“Upacara konvokesyen seterusnya hingga yang tahun ketujuh iaitu pada 1978 turut dijalankan di Dewan Sri Pinang sebelum ia secara tradisi dianjurkan di kampus induk USM,” katanya.

Jubah istimewa berwarna ungu yang menjadi warna rasmi universiti telah disiapkan untuk setiap pegawai penting dalam majlis tersebut. Semua jubah ini tersimpan dengan teratur di Bilik Jubah Utama, berdekatan dengan Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) di kampus induk USM.

“Ada jubah khusus untuk para Canselor, Pro-Canselor, Naib Canselor, Ahli Lembaga Gabenor, Pendaftar, Bendahari, Ketua Perpustakaan, Dekan Pusat Pengajian atau Pengarah Pusat Khidmat, selain untuk para graduan.

“Graduan akan dibenarkan meminjam jubah konvokesyen tersebut beserta selendang warna mengikut bidang pengajian dalam tempoh masa tertentu bermula dari waktu sebelum istiadat hingga beberapa hari selepas upacara itu,” jelasnya.

Baca:

Sengaja nak ‘test market’, kemaruk kejar dosa – Penulis skrip ini bimbang drama Melayu makin rosak

Anak-anak memang suka, ini resepi lempeng lembut dan gebu

Bukan susah mana nak bagi jubin kembali berkilat, ramai yang dah berjaya buat guna kaedah ini