Realtime website trackingweb stats

Hari tu Bezza, sekarang Honda CRV pula rosak sejurus keluar pusat pameran, jangan-jangan ada gula lagi

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Seorang pengguna media sosial yang lain tampil meluahkan rasa tidak puas hati dan mendakwa kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang baru dibeli oleh bapanya mengeluarkan bunyi pelik hanya beberapa minit selepas dibawa keluar dari sebuah pusat pameran kereta di Melaka Disember tahun lalu.

Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Ahmad Shah mendakwa, bunyi pelik itu seakan-akan seperti bunyi motosikal bergerak.

“Ayah menghantar kereta tersebut ke cawangan pusat kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan.

“Pihak itu hanya menukar tombol kunci pintu namun kereta masih mengeluarkan bunyi yang sama,” katanya

Menurutnya, kereta itu kemudian dibawa sekali lagi ke pusat kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan dan dipandu uji kali kedua.

“Pengurus pusat kenderaan berkenaan mengesahkan ada bunyi tidak normal pada kenderaan tersebut.

“Dia maklumkan bahawa kereta tersebut akan dihantar ke pusat servis utama iaitu Honda Malaysia.

“Ini kerana dakwanya, cawangan berkenaan tidak dapat membuat apa-apa tanpa pemeriksaan yang lebih teliti daripada Honda Malaysia,” katanya.

Dakwanya, selepas itu SUV tersebut dihantar ke Honda Malaysia, tetapi tiada langsung khabar berita mengenai statusnya.

“Ayah menghubungi semula pengurus tersebut dan dia maklumkan sentiasa cuba mendapatkan maklumbalas dan perkembangan dari Honda Malaysia namun setakat ini masih tidak diketahui apa puncanya.

“Agak pelik kerana kereta itu belum cecah sebulan lagi usianya namun tempoh jaminan daripada Honda seperti sudah tamat berpuluh tahun.

“Kemudiannya ayah berhubung dengan Ketua Perkhidmatan Pelanggan Honda Malaysia yang memaklumkan kes itu akan dirujuk semula dan diselesaikan oleh pihak cawangan,” luahnya,

Ahmad Shah berkata, selepas disiasat, rupanya mengikut laporan yang dibuat, tiada langsung dinyatakan mengenai bunyi pelik tersebut.

Sebaliknya, pihak itu hanya menyatakan bahawa terdapat isu berkaitan tayar sahaja.

“Bunyi tersebut hilang apabila kereta berhenti namun akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat apabila kereta sedang bergerak,” katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan bahawa seorang pengguna media sosial Facebook, Noriya Mamat, mengatakan bahawa Honda HR-V yang dibelinya pada Ogos tahun lalu mengalami kerosakan selepas hanya dua minggu penggunaan.

Noriya menyatakan dalam hantaran beliau bahawa kenderaan tersebut bermasalah selepas dihantar ke Pusat Servis Gong Badak, Terengganu, pada 2 September lalu untuk servis pada jarak 1,000 kilometer (km).

Menurutnya, keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila Pusat Servis Honda tersebut memberikan alasan bahawa mereka tidak dapat mengesan punca masalah tersebut.