Harga kelapa yang meningkat sehingga RM3 sebiji menjadi penyebab utama kenaikan harga santan segar yang kini mencecah RM16 sekilogram (kg).
Tinjauan mendapati bahawa kebanyakan peniaga terpaksa menaikkan harga santan sebanyak RM2 akibat peningkatan harga kelapa di peringkat pembekal.
Menurut mereka, keputusan ini diambil untuk memastikan kelangsungan perniagaan yang diusahakan.
Pemilik gerai santan, Suzlan Abdul Wahab, 36, mengesahkan bahawa harga santan memang telah naik beberapa minggu kebelakangan ini,
Berikutan kenaikan harga kelapa di peringkat pembekal.
Menurutnya, tiada niat untuk menaikkan harga santan, kerana harga bahan tersebut bergantung pada harga kelapa yang diperoleh daripada pembekal.
“Pada awalnya, harga santan asli dijual pada RM12 sekilogram kerana harga kelapa daripada pembekal hanya RM2 sebiji. Namun, kira-kira dua hingga tiga minggu lalu, pembekal menaikkan harga kelapa kepada RM2.50 sebiji, menyebabkan kami terpaksa menaikkan harga santan kepada RM14 sekilogram,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambahnya lagi, harga santan terpaksa dinaikkan sekali lagi kerana pembekal menaikkan harga kelapa kepada RM3 sebiji.
“Pembekal naikkan harga kelapa RM3 sebiji, dan kami terpaksa naikkan harga santan kepada RM16 sekilogram pada Ahad lalu. Peniaga terpaksa berbuat demikian kerana modal yang keluar semakin besar. Jika kami mengekalkan harga lama, tiada keuntungan dan kami akan menanggung kerugian,” jelas Suzlan.
Sementara itu, penjual santan Ahmad Jusoh, 50, berkata bahawa bukan sahaja harga kelapa semakin tinggi, tetapi peniaga juga menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan kelapa di pasaran.
“Bekalan kelapa kami bergantung kepada import dari Indonesia. Jadi, apabila harga kelapa dinaikkan oleh pembekal, kami tiada pilihan selain menaikkan harga santan. Harga kelapa dari pembekal sudah mahal, jadi kami terpaksa jual dengan harga yang sekurang-kurangnya dapat balik modal,” katanya.
Penjual santan, Mohd Alif, 43, pula menyatakan bahawa bekalan kelapa yang semakin sukar diperoleh menyebabkan pembekal dan peniaga terpaksa menaikkan harga santan.
“Kami membeli kelapa daripada pembekal dengan harga yang tinggi, jadi tidak ada niat kami untuk menaikkan harga santan. Jika boleh, kami tidak mahu menaikkan harga kerana kami tahu kos barangan semakin mahal.
Saya berharap kerajaan dapat mengawal harga di semua peringkat kerana isu kenaikan harga ini memberi kesan kepada semua pihak, bukan hanya peniaga tetapi juga pelanggan,” jelasnya.
BACA: Ini ciri teknologi canggih yang terdapat pada kad pengenalan model baharu