Harap orang lain tidak alami nasib sama Dea Maisarah, bapa ini mahu kebenaran dibongkar.
Selepas lebih seminggu pemergian Dea Maisarah, 10, yang menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, kematian anak sulung Bada Hussein, 48, itu masih belum dirungkai.
Bada menegaskan bahawa pengelasan kematian iaitu ‘Brought in Dead’ (BID) atau kematian di luar fasiliti hospital yang tercatat dalam sijil atau permit pengebumian adalah palsu dan tidak benar.
“Anak saya masih hidup ketika itu dengan saya ada bukti termasuk resit pembayaran.
“Ramai juga mempersoalkan supaya saya reda, memang reda tetapi amar maaruf dan nahi mungkar. Kejahilan kita cegah.
“Jadi, dengan masalah ini, saya mahu pembohongan dibongkar, kita mahukan keadilan,” katanya lapor BH, malam tadi.
Menurut Bada yang juga peniaga makanan, tidak mahu orang lain mengalami nasib yang sama dengan anaknya.
Tambah Bada, beliau sudah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Sebelum ini, Bada mendakwa kecuaian pihak hospital menjadi punca kematian anaknya.
“Sampai di HTAR, saya ambil nombor dan bayar lalu menunggu lebih kurang 40 hingga 45 minit .
“Selepas itu, dia (pihak hospital) suruh saya pergi ke zon kanak-kanak di sebelah kecemasan. Sampai di sana (zon kanak-kanak), saya menunggu lagi dalam 20 minit macam tu, lama juga.
“Apabila tiba giliran anak saya, pihak hospital mula periksa degupan jantung, mereka tengok tahap oksigen dalam darah dia.
“Di situ mereka mula kelam kabut sebab oksigen dalam darah dia memang tak cukup. Mula-mula saya tengok tu tahap oksigen dia… jadi 90, 80, 70 macam tu,” katanya menerusi rakaman video di TikTok.
Mengulas lanjut, Bada mendakwa apabila melihat tahap kesihatan arwah anaknya yang didakwa semakin merosot, pihak hospital dikatakan mula kelam kabut dan terus meletakkan anaknya di atas katil untuk rawatan susulan.
“Masa itu mereka ada juga berikan alat bantuan pernafasan, selepas itu mereka cuba ambil darah. Anak saya ni fobia sikit dengan jarum akibat selalu kena cucuk waktu kecil sebab penyakit kuning.
“Akibatnya dia meronta-ronta dan diikat. Sudahlah diikat, dia diserkap lagi, dipegang lagi semata-mata untuk mendapatkan darah. Anak saya meronta-ronta terus dan meminta tolong daripada saya, ayah tolong lepaskan saya.
“Sehingga seorang doktor tu menyampuk dia kata, kalau kamu bekerjasama, kami tak akan buat macam tu ujarnya sambil mempersoalkan patut ke seorang doktor boleh cakap macam tu? Dalam keadaan anak saya diikat,” dakwanya lagi.
Selepas beberapa kali dipaksa oleh pihak hospital untuk mengambil darah, Bada mendakwa degupan jantung anaknya terhenti.
Tidak lama selepas itu, Bada kemudian diarahkan keluar daripada bilik rawatan, namun berkeras untuk masuk semula.
“Saya tengok monitor, anak saya memang dah tak ada (meninggal dunia). Tapi mereka berpura-pura buat itu, buat ini, konon-kononnya mereka bekerja. Sebenarnya anak saya dah lama meninggal.
“Sewaktu saya masih ada di dalam, masa diserkap tu, konon-konon ambil darah apa semua, di situ anak saya meninggal,” kata Bada lagi.
Sementara itu, peguam yang mewakili Bada, Hafiz Norkhan berkata insiden yang menimpa Dea adalah serius dan memerlukan siasatan telus pihak berkuasa.
“Perkara ini adalah satu isu yang besar di negara kita apabila dalam kes dokumentasi pengisytiharan kanak-kanak itu disahkan BID.
“Bermula pada hari ini, kita akan beri keterangan menerusi laporan polis tentang apa berlaku daripada perspektif anak guam saya yang ada masa kejadian. Kerjasama akan diberikan dan mohon siasatan telus.
“Setakat ini, saya dapat arahan ambil tindakan saman sivil terhadap HTAR dan Kementerian Kesihatan dengan saman ini bukan bersifat materalistik,” kata peguam itu lagi.