Nur Fazura mendakwa bahawa dia mempunyai bukti kukuh mengenai kecurangan aktor itu di belakangnya.
Kata Fazura, dia sudah berusaha untuk bersabar dan memaafkan perbuatan Fattah,
tetapi nekad memfailkan cerai apabila Fattah tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Punca yang saya tak boleh terima adalah kerana Fattah berlaku curang dan saya ada bukti,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam.
“Semua tahu saya sayangkan Fattah, demi Allah. Saya cuba bersabar dan memaafkan dia selama ini, tetapi dia tetap sama, tidak berubah,” tambahnya kepada pemberita.
Fazura ditemui selepas Fattah melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada hari Isnin. Dia juga tidak dapat menahan air mata ketika berkongsi punca memfailkan cerai pada 13 September lalu.
Pasangan itu sah bercerai talak satu kira-kira pukul 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malek Soleh.
Sementara itu, Fazura berkata, hatinya hancur apabila mengetahui tentang kecurangan Fattah sejak Ogos lalu, tetapi tetap berusaha untuk memperbaiki hubungan mereka, namun tidak berhasil.
Apa yang membuatkan dia lebih kecewa, Fattah seolah-olah tidak berusaha untuk memujuknya ketika hatinya remuk menghadapi ujian tersebut.
“Sudah dua bulan kami tidak tinggal sebumbung. Dalam tempoh itu, saya berharap dia datang untuk memujuk dengan bersungguh-sungguh.
“Dalam keadaan hati remuk, saya mengharapkan semua itu. Kalau dia datang, mungkin saya akan berlembut hati. Tetapi tiada inisiatif yang benar-benar untuk memujuk.
“Jadi, saya tahu dia tidak sayangkan saya lagi,” katanya.
Dalam tempoh mereka tidak bersama, Fattah ada pulang ke rumah beberapa kali, tetapi mereka tidak bersemuka.
“Ada dia pulang rumah untuk jumpa anak dan mengambil baju. Kali terakhir adalah ketika saya memfailkan cerai,” ujarnya.
Tambahnya, sebab utama dia mahu berpisah adalah sikap curang Fattah selain kegagalan memberi nafkah untuk keluarga.
“Fattah pun tahu saya tidak gembira. Pendapatan dia pun banyak, takkan sedikit pun dia tidak boleh bagi saya dan Fatima,” jelasnya.
Fazura turut meluahkan rasa kecewa apabila pengorbanan yang dilakukannya untuk Fattah dibalas dengan pengkhianatan. Malah, katanya, hadiah kenderaan mewah jenis Range Rover yang diberikan kepada Fattah digunakan untuk membawa wanita lain.
“Saya telah berkorban banyak untuknya. Kenderaan Range Rover saya berikan, tetapi dia bawa orang ketiga,” ujarnya.
Fazura bagaimanapun enggan mendedahkan identiti orang ketiga dalam rumah tangganya dan meminta agar soalan tersebut dijawab sendiri oleh Fattah.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, yang berusia 4 tahun.
BACA: Rupanya pesawat diharamkan terbang diatas ruang udara makkah ramai nak tahu sebabnya