Realtime website trackingweb stats

Hanya serangkap mesej akhir dihantar sebelum tragedi kepala air

Oleh ADINDA

Hanya serangkap mesej akhir dihantar sebelum tragedi kepala air. Mesej terakhir mangsa tragedi kepala air kepada adik.

“Sudah selamat sampai… itu mesej terakhir kakak, Allahyarham Azizah Eyi, yang dihantar kepada adik bongsu kami, Syawaluddin, 29, pada jam 5.24 petang kelmarin, sebaik mereka sekeluarga tiba di Jeram Air Putih berhampiran Kampung Teladas, Terengganu.

“Selepas itu, kami tak dapat sebarang berita daripada mereka, malah gambar mereka di jeram itu juga tidak dihantar seperti kebiasaan, sehinggalah polis menghubungi kami semalam (kelmarin) untuk datang ke Kemaman bagi pengecaman mayat mangsa tragedi kepala air, ” kata Mohd Ismail, 36.

Mohd Ismail berkata, menjadi kebiasaan arwah kakaknya menghubungi Syawaluddin pada hari biasa dan sebaris mesej ringkas yang dihantar petang kelmarin sebaik mereka tiba di Jeram Mawar Air Putih untuk perkelahan bersama suami dan tujuh anak itu menjadi komunikasi terakhir mereka sekeluarga.

“Sebelum bertolak ke Jeram Mawar, Kampung Air Putih, kakak sekeluarga singgah ke rumah ibu bapa kami di FELDA Lepar Hilir 3, Kuantan, pada kira-kira jam 2 petang untuk membayar barang yang dibeli mereka.

“Ketika bertemu, arwah kakak ada mengajak saya mengikuti keluarganya berkelah dan bermalam sambil memancing di jeram itu, tetapi saya menolak sebab ada urusan lain. Dia sekeluarga sangat gembira untuk bercuti bersama di tepi jeram itu, malah membawa kelengkapan khemah untuk tidur.

“Mereka dijadualkan pulang ke FELDA Lepar Hilir 3 pada tengah hari semalam, tetapi yang pulang selepas ini hanyalah jenazah sembilan ahli keluarga itu dan jenazah bakal menantu mereka,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian kepala air dipercayai berlaku petang kelmarin, 10 mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tragedi itu dengan mayat enam daripada mereka sudah ditemui.

Selain Azizah,40, dan Karim Abdullah,39, tujuh anak mereka yang menyertai perkelahan itu ialah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi individu yang hilang adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Mohd Ismail berkata, abang iparnya memang sejak awal merancang membawa keluarganya dan bakal menantu mereka berkelah di Jeram Mawar, Kampung Air Putih itu selepas dia yang bekerja membalak di kawasan itu sejak dua bulan lalu mengetahui lokasi berkenaan.

Katanya, Muhammad Fikri yang tinggal di Batu Pahat pula tiba di Kuantan pada Rabu lalu dan menyambut Aidiladha bersama keluarga bakal mentuanya itu pada Khamis lalu, seterusnya menyertai perkelahan mereka kelmarin.

“Arwah kakak sepatutnya menerima menantu pertama pada Disember ini tetapi takdir Allah menetapkan semua mereka seramai 10 orang pergi menemui Ilahi serentak selepas menjadi mangsa kepala air di Jeram Mawar Air Putih.

“Ketika menerima berita kejadian itu, emak kami hampir pengsan kerana tidak menduga perkara itu berlaku ketika kita masih dalam suasana hari raya,” katanya.