Realtime website trackingweb stats

“Hancur hati saya, Mizz Nina datang bawa polis” – Noh Hujan

Oleh ADINDA

Noh Salleh memberitahu melalui Instagram bahawa anak angkatnya, Musa, telah diserahkan semula kepada bekas isterinya, Mizz Nina, pada Sabtu lalu, setelah Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah interim.

Penjelasan ini diberikan pada kira-kira jam 11 malam semalam melalui hantaran di Instagram untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Terima kasih buat mereka yang mendoakan agar masa depan Musa terjamin harmoni. Buat pengetahuan umum, temubual bersama Melodi dijalankan pada 13 Januari lalu (Sabtu) pada jam lebih kurang 2.45 petang.

"Hancur hati saya, Mizz Nina datang bawa polis" - Noh Hujan

“Namun, malam semalam (kelmarin), pada jam kira-kira 8.30 malam, Mizz Nina hadir di rumah saya bersama suami, anggota polis dan beberapa orang lain yang tidak dikenali untuk mengambil Musa daripada jagaan saya dengan perintah interim (perintah jagaan sementara) dari Mahkamah Syariah sebelum sesi mediasi di mahkamah,” katanya.

Noh menyatakan bahawa beliau menghormati arahan Mahkamah Syariah dan dengan rela hati menyerahkan Musa, walaupun rasa berat di hatinya.

“Saya faham dan bagi menghormati perintah mahkamah, saya dengan terpaksa dan berat hati menyerahkan Musa dan akan meminta nasihat peguam saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa hancurnya hati saya,” katanya.

Noh turut memberitahu bahawa segala-galanya berjalan dengan lancar dan berharap agar tidak ada pihak yang membuat spekulasi yang boleh menyulitkan keadaan.

“Tiada sebarang insiden perebutan berlaku kerana saya masih percaya dengan jalan perdamaian dan apa yang penting adalah kesihatan mental dan fizikal Musa.

“Saya berharap kenyataan ini jelas dan tiada sebarang spekulasi daripada mana-mana pihak dan saya berterima kasih atas segala doa kalian,” katanya.

Semasa temu bual dalam program Melodi di TV3, Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh, 39 tahun, menyatakan dengan tegas bahawa tidak ada unsur penculikan yang melibatkan Musa seperti yang dituduhkan.

Malahan, beliau mendakwa sudah mendapatkan kebenaran dari ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak tersebut.

“Musa diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati. Amanah ini diberikan kepada saya. Ini bukannya isu perebutan, tetapi mengikut undang-undang dan disertai dengan dokumen.

“Sekarang Musa di bawah jagaan saya dan sangat gembira. Memang saya difitnah teruk,” katanya sambil mendakwa perbincangan mengenai penjagaan Musa bersama Mizz Nina selama ini, gagal.

Pada bulan Disember yang lalu, Noh mengungkapkan perasaan rindu terhadap Musa melalui kiriman di Instagram (IG).

Dalam kiriman tersebut, Noh pertama kali menunjukkan wajah anaknya sempena ulang tahun kedua Musa dan berdoa agar mereka dapat bersatu kembali serta anak kecil itu mendapat kasih sayang seorang ayah.

Noh dan Mizz Nina, atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 44, telah bernikah pada bulan Julai 2011. Namun, mereka bercerai pada bulan Ogos 2022 dan tidak dikurniakan zuriat.

Pada bulan September yang lalu, Noh berkahwin dengan Fatin Athira Mustapa.

Mizz Nina pula telah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi rap dan penulis lirik keturunan Maghribi dari Seattle, Amerika Syarikat (AS), iaitu Essam Muhammad pada suku kedua tahun yang lalu.

Baca:

‘Mungkin saja nak kutuk barangan buatan Malaysia’ – Pelik tulisan tangan di palam pintu pesawat Alaska Airlines ini

‘Permainan dia memang bijak’ – Tumpu sangat F&B tapi boikot ini baru betul-betul boleh rugikan mereka

Aznil dulu rajin belajar sampai masuk UM sebab Sudirman – Geng Asad Motwah boleh betulkan niat