Inspektor Sheila, yang menjadi viral di media sosial, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menimbulkan gangguan awam di pusat membeli-belah lima bulan yang lalu.
Inspektor Sheila, nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35 tahun, telah mengaku tidak bersalah kepada pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Menurut tuduhan, wanita tersebut dituduh melakukan tindakan yang menggangu orang awam, termasuk marah-marah, membunyikan hon kereta untuk jangka masa lama, dan berteriak di lokasi tersebut yang menyebabkan ketidakselesaan kepada seorang wanita berusia 29 tahun.
Kesalahan ini didakwa berlaku pada tempat letak kereta pusat membeli-belah di Brickfields, pada jam 5.26 petang, pada 16 Jun yang lalu.
Pertuduhan ini berdasarkan Seksyen 268 Kanun Keseksaan, dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 290 Kanun yang sama, yang melibatkan denda maksimum RM400.
Dalam perbicaraan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Zuhairi Osman mencadangkan agar OKS dikenakan jaminan sebanyak RM1,000 bersama seorang penjamin.
Peguam Sheila, M. Manoharan, memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan jaminan dan berjanji untuk hadir ke mahkamah pada setiap tarikh perbicaraan kes ini.
“Pertuduhan terhadap Sheila adalah tidak berasas dan sangat memalukan, sedangkan dia sudah berkhidmat sebagai pegawai polis selama sembilan tahun malah dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan,” katanya.
Setelah mendengar permohonan dari kedua-dua pihak, Illi Marisqa bersetuju untuk mengenakan jaminan RM500 berserta seorang penjamin kepada OKS.
Tarikh 18 Disember akan ditetapkan untuk penyerahan dokumen.
Sebagai catatan, Sheila menghadapi tiga pertuduhan jenayah di Mahkamah Majistret Selayang, dan perbicaraan kes tersebut telah dijadualkan pada 5 hingga 7 Februari tahun depan.
Pada 26 Jun lalu, Sheila telah dituduh mengancam seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk menimbulkan kebimbangan kepada mangsa, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 506 Kanun Kesalahan yang boleh mengakibatkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Dia juga dituduh menghina martabat seorang lelaki berusia 41 tahun dan menggunakan kata-kata yang tidak sopan dengan tujuan merendahkan maruahnya.
Dua tuduhan tersebut dikenakan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh mengakibatkan hukuman maksimum penjara selama lima tahun, denda, atau kedua-duanya, jika individu tersebut disabitkan kesalahan.
Baca:
“Mahkamah tak bongok” – Aliff Syukri bagi jawapan padu kepada Azwan Ali