Sesetengah orang beranggapan bahawa gaji sebanyak RM3,000 masih tidak mencukupi untuk mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.
Menurut pandangan ini, gaji RM3,000 hanya cukup untuk menampung komitmen dan perbelanjaan harian, tetapi tidak cukup untuk simpanan.
Bagi mereka yang menghadapi situasi ini, anda boleh cuba teknik 50-30-20 yang dikongsikan oleh pempengaruh kewangan, Dr. Azam Zubir.
Dalam perkongsian di TikTok, Dr. Azam berkata teknik 50-30-20 melibatkan pembahagian gaji kepada tiga kategori utama: keperluan, simpanan, dan kemahuan.
“Sebab itu saya menggunakan teknik tiga bank. Ada bank keperluan, bank simpanan, dan bank kemahuan.
Bank kemahuan perlu ada kerana selain menyimpan, kita juga perlu memperuntukkan wang untuk perbelanjaan yang kita nikmati, agar keseimbangan tercapai.
“Tak kisahlah jika anda mahu melancong, belanja keluarga, beli gajet, dan sebagainya. Anda boleh menggunakan wang dari bank kemahuan. Persoalannya adalah bagaimana mengagihkan wang tersebut? Jika anda bertanya kepada saya, ada banyak cara. Anda boleh gunakan teknik 50-30-20.
“Maksudnya, letakkan 50 peratus daripada gaji RM3,000 dalam bank keperluan (RM1,500). Kemudian, 30 peratus (RM900) dalam bank kemahuan dan baki 20 peratus (RM600) dalam bank simpanan,” ujarnya.
Menurut Dr. Azam, ada satu lagi kaedah untuk mereka yang bergaji RM3,000 sekiranya mereka mempunyai komitmen yang tinggi.
“Jika tinggal di bandar dan jumlah tersebut tidak mencukupi, saya cadangkan satu lagi formula yang mungkin sesuai. Alihkan 80 peratus daripada RM3,000 (RM2,400) untuk bank keperluan, 10 peratus (RM300) untuk bank simpanan, dan 10 peratus lagi (RM300) untuk bank kemahuan.
“Anda akan mempunyai RM2,400 untuk keperluan. Bukankah itu cukup? Anda juga akan mempunyai RM300 untuk simpanan dan RM300 untuk kemahuan,” tambahnya.