Gagal rayuan, Najib dan anak perlu bayar tunggakan cukai RM 1.69 bilion dan RM37.6 juta

Oleh ADINDA

Semua kita maklum sebelum ini Datuk Seri Najib dan anaknya dihadapkan ke mahkamah oleh pihak LHDN bagi menuntut tunggakan cukai berjumlah RM 1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Bagaimanapun Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berasingan yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Seperti yang dilaporkan oleh FMT, berikut adalah keputusan rayuan Najib dan anaknya :

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan bekas perdana menteri Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah ini.

“Oleh itu, rayuan kedua-dua perayu ditolak dengan kos RM10,000 setiap seorang,” kata Abdul Karim yang bersidang bersama Vazeer Alam Mydin Meera dan Supang Lian pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Bagaimanapun, Najib dan Mohd Nazifuddin tidak perlu lagi membayar jumlah cukai itu berikutan panel berkenaan membenarkan permohonan kedua-dua perayu bagi penangguhan sementara pelaksanaan keputusan hari ini.

Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berasingan yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Abdul Karim dalam penghakimannya berkata mahkamah berpendapat bahawa Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak melanggari Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan mahkamah mempunyai kuasa kehakiman untuk mendengar dan memutuskan pertikaian di bawah Seksyen 106 walaupun dalam keadaan beberapa perkara tidak dibenarkan untuk dibangkitkan bagi pertimbangan mahkamah.

Seksyen 106 (3) menyatakan mahkamah tidak perlu melayan sebarang rayuan bahawa jumlah cukai yang ingin didapatkan kerajaan antaranya sebagai berlebihan, dinilai secara tidak tepat, di bawah rayuan atau dinaikkan secara tidak tepat.

Berkenaan dengan isu tidak berperlembagaan di bawah Seksyen 106 (3) dengan Perkara 121, beliau berkata mahkamah berpendapat bahawa dalam keadaan mentafsir undang-undang berkenaan percukaian hendaklah dibuat berpandukan kepada prinsip-prinsip perundangan yang khusus.

“Kuasa untuk mentafsir cukai hendaklah mengalir dengannya bersama dengan kuasa untuk memungut cukai tersebut. Akta cukai pendapatan telah memperuntukkan skema tersendiri bagaimana taksiran dan pungutan harus dibuat.

“Dalam perundangan percukaian, setelah taksiran dibuat dan notis diserahkan, cukai tersebut haruslah dibayar dalam masa yang diperuntukkan walaupun pembayar cukai membuat rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, dan kerajaan melalui Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri boleh meneruskan tindakan pungutan cukai pendapatan melalui Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon penangguhan sementara pelaksanaan keputusan hari ini sementara pihaknya memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Abdul Karim yang membenarkan permohonan penangguhan itu berkata kedua-dua perayu perlu memasukkan notis rayuan selewat-lewatnya Selasa depan dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penggantungan sementara itu luput.

Najib dan anaknya perlu melunaskan hutang tertunggak ini nampaknya jika gagal dalam rayuan.