Rupa-rupanya, sebuah tapak dusun durian Musang King seluas kira-kira 41 hektar yang pernah dikunjungi selebriti tanah air beroperasi secara haram dan menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Hulu Gombak, Selangor.
Dalam operasi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor kira-kira pukul 12 tengah hari 26 September lalu, dua pekerja di dusun itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti pembersihan di kawasan hutan simpan itu.
Lapor Utusan Malaysia memetik sumber, dusun yang terkenal dalam kalangan masyarakat itu beroperasi sebelum hutan berkenaan digazetkan sebagai Hutan Simpan Kekal pada 2010.
Sebelum itu, hutan tersebut adalah tanah hak milik kerajaan negeri Selangor tetapi ditukar status sebagai HSK memandangkan terletak berhampiran kawasan empangan dan menjadi kawasan tadahan hujan.
Dikatakan bahawa pengusaha dusun itu sudah lama memohon daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk memperoleh hak pemilikan terhadap kawasan itu.
Walau bagaimanapun, kawasan tersebut termasuk dalam kawasan yang hendak digazetkan sebagai HSK.
Status kawasan itu sebagai HSK nampaknya tidak diendahkan apabila pengusaha durian tersebut tetap meneruskan aktiviti penerokaan yang sehingga kini dianggarkan seluas 41 hektar.
Mulanya hanya diusahakan secara kecil-kecilan pada tahun 2010 tetapi dipercayai diperluas dengan binaan-binaan seperti yang ada sekarang.
Tak cukup dengan itu, pengusaha terbabit selamba mempromosikan dusun durian ‘haramnya’ di media sosial seperti Instagram.
Dia gigih mempromosi dan memperkenal dusun itu bagi menarik pengunjung khususnya peminat durian dan aktiviti lasak seolah-olah tidak bimbang dengan tindakan penguatkuasaan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Namun, pengusaha terbabit silap. Siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mendapati kawasan tersebut disyaki melakukan aktiviti pembersihan tanah untuk dusun durian.
Malah, boleh pula rumah rehat dibina dalam kompartmen 88 Hutan Simpan Hulu Gombak sekaligus salah mengikut Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Baca:
Tak perlu rimas lagi dengan rumput keliling rumah, ini cara paling mudah guna garam saja
Jiran selamba buat kelas senaman di laluan masuk rumah, ini ‘ubat’ dia yang pentingkan diri