Realtime website trackingweb stats

Duit banyak habis, kereta masih keluar masuk bengkel, rupanya ini punca yang ramai terlepas pandang

Oleh FATIN AQILAH

Tabiat ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah mekanikal, termasuk pembentukan karat yang berpotensi merosakkan komponen enjin.

Sistem penyejukan enjin kereta memainkan peranan penting dalam memastikan enjin beroperasi pada suhu yang optimum.

Antara elemen utama dalam sistem ini ialah coolant radiator, yang biasanya merupakan campuran air dan cecair penyejuk.

Namun, ramai pemilik kenderaan mengabaikan penjagaan bahagian ini dengan hanya menambah air tanpa menggantikan cecair penyejuk secara berkala.

Berikut adalah beberapa kesan utama pembentukan karat dalam sistem penyejukan yang boleh merosakkan kereta:

Duit banyak habis, kereta masih keluar masuk bengkel, rupanya ini punca yang ramai terlepas pandang

1. Thermostat

Thermostat yang terjejas oleh karat boleh mengalami kerosakan fungsi, seperti menyekat aliran coolant (cecair penyejuk) dan menyebabkan enjin terlalu panas (overheat). Jika thermostat tidak berfungsi dengan baik, ia boleh menyebabkan suhu enjin melebihi had yang selamat.

2. Paip Saluran

Paip besi dalam sistem penyejukan boleh mengalami kebocoran kecil akibat karat. Kebocoran ini boleh menyebabkan penurunan tekanan sistem dan meningkatkan risiko overheat.

3. Laluan Air dalam Blok Enjin

Karat yang terkumpul dalam saluran air boleh menyebabkan penyempitan laluan, mengganggu aliran coolant dan menyebabkan suhu enjin meningkat.

4. Pam Air (Waterpump)

Waterpump yang berkarat atau rosak memerlukan perhatian khusus. Sebaiknya, alat ini diganti bersama dengan timing belt untuk mengelakkan masalah overheat yang berkaitan dengan kegagalan pam.

5. Getah Hos

Interaksi antara air yang mengandungi karat dan getah hos boleh menyebabkan hos menjadi keras dan mudah pecah. Pecahan hos boleh menyebabkan kebocoran coolant dan seterusnya menyebabkan masalah overheating.

6. Radiator

Karat pada radiator boleh mengganggu aliran air dan mengurangkan kecekapan penyejukan. Jika aliran air tersekat, ia boleh menyebabkan suhu enjin meningkat.

7. Penutup Radiator (Radiator Cap)

Walaupun kecil, penutup radiator boleh terjejas oleh karat, menyebabkan risiko overheating. Penjagaan yang betul terhadap coolant adalah penting untuk memastikan sistem penyejukan berfungsi dengan baik.

Langkah-langkah Pencegahan:

a. Penukaran Coolant Berkala

Coolant perlu ditukar setiap 40,000 hingga 50,000 kilometer atau setiap dua tahun, bergantung kepada penggunaan kereta. Ini memastikan keberkesanan penyejukan dan mencegah pembentukan karat.

b. Penggunaan Coolant yang Betul

Jangan tambah air ke dalam tangki simpanan coolant. Tambah cecair yang sesuai untuk mengelakkan pengurangan kandungan coolant.

c. Pemeriksaan Berkala

Lakukan pemeriksaan berkala pada sistem penyejukan, termasuk radiator, paip, dan hos getah, untuk memastikan tiada kerosakan atau kebocoran.

BACA: Mula dengan berniaga sim card, lelaki berjaya jana RM4.19 billion dalam 6 tahun