Dua lelaki maut termasuk seorang remaja 15 tahun

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Dua lelaki maut termasuk seorang remaja 15 tahun selepas motosikal yang ditunggangi mereka dilanggar sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan berhampiran stesen minyak Batu 6, Simpang Empat, Alor Setar, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.05 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX-5, Muhamad Amirul Abdul Majid, 24, dan pemboncengnya, Muhammad Luthfan Asri, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Kedua-dua mangsa menetap di Kampung Raja, Simpang Empat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata hasil siasatan awal mendapati, motosikal itu dipercayai dari arah Alor Setar ke arah Simpang Empat manakala kereta terbabit dari arah bertentangan Simpang Empat ke arah Alor Setar.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal berkenaan bergerak lurus di laluan mereka manakala kereta Proton Wira yang dinaiki tiga individu termasuk seorang wanita itu dipercayai datang dari arah bertentangan.

“Bagaimanapun, kereta yang dipandu Muhammad Aniq Shafiq Anuar, 20, itu dipercayai hilang kawalan masuk ke hadapan laluan motosikal berkenaan nenyebabkan berlaku perlanggaran hadapan di hadapan antara kedua-dua kenderaan.

Keadaan sebuah motosikal selepas kemalangan berhampiran stesen minyak
di Simpang Empat menyebabkan penunggang dan pemboncengnya maut. – Foto PDRM

“Akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, Muhammad Aniq Syafiq yang juga pelajar dan menetap di Kampung Bukit Lerek, Jalan Kuala Nerang itu mengalami kecederaan di mata, muka dan luka di tangan.

Dua penumpang dalam kereta itu, Muhammad Faizal Mohamad Na’in, 20, berasal dari Pendang pula luka di tangan, manakala Rosfaizureen Roslan, 18, dari Alor Setar bengkak di lutut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
[email protected]