Ditelan dan dimuntah semula oleh ikan paus Humpback

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Seorang lelaki daripada Massachusetts di Amerika Syarikat telah mengalami pengalaman sekali seumur hidup ketika dia sedang menyelam.

Pada awalnya, lelaki yang berusia 56 tahun itu, Michael Packard sedang sibuk mencari udang kara di pantai Racepoint di Provinceton sebelum dia ditelan ikan paus Humpback itu. Packard memberitahu bahawa dia merasakan satu sondolan yang agak kuat sebelum segala-galanya berubah menjadi gelap.

Pada mulanya, dia sangkakan dirinya telah diserang oleh ikan yu tetapi tiada gigi-gigi tajam yang kelihatan.

Gambar: Ikan paus Humpback

Ternyata, lelaki itu telahpun ditelan oleh seekor ikan paus Humpback dan terperangkap di dalam mulutnya.

Packard cuba untuk bernafas melalui tangki oksigennya dan menyedari bahawa tiada apa yang boleh dilakukannya.

Hidup dan matinya terletak pada tangan ikan paus tersebut. Dia berkata, “Sama ada dia akan memuntahkan saya semula ataupun menelan saya.”

Dia turut berasa risau dan berfikir apa akan berlaku jika bekalan oksigennya kehabisan.

Namun, nasib menyebelahi Packard ketika ikan paus itu berenang ke dasar permukaan laut dan mula menggoyangkan kepalanya.

Packard akhirnya tercampak ke udara dan jatuh ke dalam air laut.

“Saya telah bebas dan saya cuma terapung dalam air. Saya tak percaya… Saya masih hidup untuk menceritakan pengalaman ini,” katanya.

Perkara tersebut turut disaksikan oleh salah seorang lelaki yang turut berada di tempat kejadian, Joe Francis, ketika sedang bertugas di sekitar kawasan itu.

Gambar: Michael Packard  mendapatkan rawatan selepas kejadian tersebut.

Francis mengatakan bahawa Packard sangat beruntung kerana masih hidup setelah kejadian di luar jangkaan tersebut berlaku.

Dia turut menjelaskan bagaimana dia dan kru-krunya yang lain menyelamatkan Packard dan menenangkannya.

Seorang saintis di New England Aquarium memberitahu bahawa ikan paus Humpback sering melakukan gulp-feeding di mana mereka akan membuka mulut seluas-luasnya dan menelan segala benda yang ada dalam laut.

Packard tidak bernasib baik kerana berada berhampiran dengan ikan paus itu ketika perkara tersebut berlaku.

Gambar: menunjukkan perbezaan saiz ikan paus Humpback dengan saiz manusia

Ikan paus pada asalnya tidaklah bahaya kepada manusia. Namun, disebabkan saiznya yang besar, kita haruslah berhati-hati ketika berada dalam air laut.

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
editornextstep21@gmail.com