“Din nak pergi mana? Abah nak ikut. Boleh abah ikut?” Itulah pertanyaan yang sering diajukan seorang bapa setiap kali anaknya hendak keluar rumah.
Menerusi perkongsian Sir Zahir di TikTok, dia memuat naik momen di mana bapanya bertanya ke mana anaknya mahu pergi dan turut meminta untuk dibawa bersama.
“Ada kalanya jika abah ingin ikut, saya akan bawa, ada kalanya tidak, bergantung pada masa
Contohnya, jika saya hendak pergi kerja dan abah ajak beli kuih, saya akan kata, ‘Maaf abah, saya tak sempat. Selepas selesai kerja, kita boleh bawa abah,’” katanya.
Menurut lelaki itu, setiap kali pulang dari kerja, bapanya akan menunggu di luar rumah sambil duduk di kerusi roda, menanti untuk diajak keluar berjalan-jalan.
“Kalau tak kemana-mana, cukup sekadar membawa abah bersiar-siar di dalam kereta sambil melihat pemandangan sekitar,” katanya.
Dalam masa yang sama, lelaki tersebut juga berkongsi pengalaman semasa kecil apabila sering mengikuti bapanya ke mana sahaja.
“Kami dulu waktu kecil-kecil begini. Nak ikut saja. ‘Ok bah, ikutlah,’ saya kata. Sementara cuti semester ini, saya luangkan masa sikit untuk jaga abah dan siapkan penulisan yang lama tertangguh,” kongsinya.
Perkongsian Sir Zahir mendapat perhatian ramai dan tular di media sosial, meraih lebih 1.2 juta tontonan.
Di ruangan komen, ada juga yang berkongsi situasi serupa di mana orang tua mereka sering mengajak keluar berjalan kerana bosan berada di rumah.
“Sama macam ibu saya, walaupun usia hampir 65 tahun, setiap hari ada sahaja aktivitinya. Katanya bosan duduk di rumah, jadi bila saya balik kerja, selalu minta bawa pusing-pusing pekan naik kereta. Kadang-kadang penat juga, tapi tetap bawa,” kata Haneesah.
BACA: Tak nak anak dan isteri tahu dia dah kaya, lelaki ini pakai maskot ambil wang loteri RM143 juta